01 October 2009

Rayuan Nizar: Mahkamah Tetapkan 5 November

Mahkamah Persekutuan menetapkan 5 November ini bagi mendengar rayuan Dartuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap keputusan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Seorang daripada barisan peguam yang mewakili Nizar, Leong Cheok Keng berkata penetapan tarikh tersebut diterima melalui surat yang dihantar Mahkamah Persekutuan kepadanya melalui faksimile pada 3 September lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff akan mendengar beberapa persoalan undang-undang yang dibangkitkan peguam Nizar bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Antaranya, tafsiran terhadap Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 sama ada jawatan Menteri Besar perlu dikosongkan dalam keadaan beliau telah menasihatkan Sultan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Selain itu melibatkan isu undang-undang berkaitan kuasa memecat Menteri Besar sedangkan tidak terdapat pembubaran Dewan, tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dan tiada perletakan jawatan dibuat.

Panel berkenaan juga akan mentafsirkan Perkara 16(6) UTKNP sama ada isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam sidang DUN atau boleh dibuat di mana-mana sahaja serta sama ada ahli Exco telah dianggap dipecat jika Menteri Besar enggan meletak jawatan.

Pada 9 Julai lalu, Hakim Alauddin yang bersidang bersama Hakim Besar Melaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membenarkan permohonan Nizar untuk merayu terhadap pengisytiharan terdahulu.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan peguan Datuk S Ambiga yang mewakili Nizar agar keputusan panel tiga hakin Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop itu digantung sementara menunggu rayuan.

11 Mei lalu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman membenarkan permohonan semakan kehakiman Nizar agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu mengumumkan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah sekali gus membatalkan keputusan Mahkmah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan kedudukan asal Nizar. TVA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese