Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) hari ini membuat aduan kepada badan-badan pengawasan profesional terhadap tiga pakar rundingnya yang terbabit dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi PKA, Datuk Lee Hwa Beng berkata, aduan pertama dibuat kepada Lembaga Disiplin Majlis Peguam terhadap firma guaman Rashid Asari & Co, (RA).
Menurutnya, RA adalah firma guaman yang mewakili PKA dalam urusan pembelian tanah PKFZ dan perjanjian pembangunan antara PKA dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).
Dalam kenyataan itu, Lee mendakwa, RA telah mewakili KDSB sebelum mewakli PKA.
Oleh itu, katanya, PKA berpendapat wujud salahlaku profesional oleh RA kerana berlaku percanggahan kepentingan yang didakwanya menyebabkan RA berat sebelah kepada KDSB dan menjejaskan kepentingan PKA.
Aduan kedua dibuat kepada Lembaga Juruukur Bahan Malaysia terhadap Perunding BE Sdn Bhd.
Dalam aduan tersebut, PKA antara lain mendakwa, syarikat tersebut gagal menyediakan kemahiran yang sepatutnya dalam menjalankan penilaian yang sempurna berhubung kos PKFZ, dan dalam menjalankan tanggungjawab profesionalnya kepada PKA.
Lee berkata, aduan ketiga pula dibuat kepada Lembaga Arkitek Malaysia terhadap BTA Architect Sdn Bhd, yang didakwanya antara lainnya, melakukan pelbagai kecuaian representasi kepada PKA dalam menjalankan tugasnya sebagai arkitek. Malaysiakini
No comments:
Post a Comment