SATU - MEMILIH SEMULA KEPIMPINAN PAS PUSAT
Tidak perlu. Kepimpinan yang ada sudah mampu bercakap dan bekerja. Kalau diadakan semula muktamar khas untuk tujuan ini, seolah-olah kewibawaan pemimpin sekarang dipertikaikan. Suara perwakilan yang memilih mereka dalam muktamar yang lalu seolah-olah tidak berguna lagi. Bagaimana kalau pemimpin yang ada sekarang terpilih lagi, kemudian ada lagi suara yang tidak berpuashati dengan kepimpinan itu, buat muktamar khas lagi?
Akhirnya kerja kita ialah bermuktamar. Muktamar maknanya bercakap, jadi kerja kita cuma bercakap. Adakah kita akan berhadapan dengan Umno cuma dengan bercakap?
Pasukan yang ada sekarang dikira sudah mampu memimpin untuk berhadapan dengan Umno. Kalau ditakdirkan ada juga pemilihan baru, dan ditakdirkan juga terpilih barisan kepimpinan baru, siapa boleh menjamin yang baru adalah lebih baik daripada yang sedia ada?
Orang Arab bermadah, ‘Boleh jadi perkara yang diidamkan adalah lebih manis, tetapi apa yang sedia ada sudah pun manis’.
DUA - MENENTUKAN SIKAP TERHADAP ISU KERAJAAN PERPADUAN
Perlu. Isu ini menjadi ‘bom jangka’, bahkan lebih berbahaya daripada bom jangka kerana saat ia akan meletup tidak diketahui. Tambahan pula bom ini boleh meletup berkali-kali di merata-rata tempat.
Sekarang, ia ‘meletup’ lagi apabila seorang ahli akademik mencadangkan supaya dikenakan tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor dan barisan pemimpin yang sealiran dengannya.
Letupan ini mengembirakan Umno. Justeru bom jangka ini perlu dimatikan. Tiada sesiapa yang mampu mematikan bom ini secara berseorangan. Dijangkakan hanya muktamar yang mampu mematikannya. Justeru, muktamar khas perlu diadakan.
Bagaimana kalau perwakilan tetap mahukan kerajaan perpaduan? Atau, boleh jadi keputusan perwakilan seimbang? Atau, majoriti yang penolakan terhadap kerajaan perpaduan adalah kecil? Atau, majoriti yang menerima kerajaan itu juga kecil?
Atau, perwakilan memohon supaya diadakan pilihan ketiga, berkecuali?
Ah, tidak mungkin begitu walau pun dunia ini serba mungkin.
KETIGA - KEDUA-DUA TOK GURU
Kedua-dua tok guru adalah orang cerdik. Mereka terdedah dengan pengalaman dan ilmu politik yang banyak. Tiada apa-apa kepentingan peribadi yang mereka kejar. Mereka saling perlu-memerlukan dan kuat-menguatkan antara satu sama lain. Jangankan ketiadaan kedua-duanya, ketiadaan salah seorang daripadanya pun sudah menjadikan kita tidak cukup air mata untuk menangis.
Memang, kadang-kadang kita tidak selesa dengan seseorang semasa dia masih ada. Setelah ketiadaannya barulah kita teringat untuk berkata, ‘Kalaulah dia masih ada!’.
Saya teringatkan pesan salah seorang pemimpin Ikhwan Muslimin, ‘Jadilah batu-bata yang mengukuhkan jamaah. Usah benarkan musuh menyelinap masuk untuk merosakkannya daripada ‘bata’ kamu’. Zolkharnain Abidin (sini)
2 comments:
Alhamdulillah ! Ini lah sebab nya kita sangat sayang dan hormati Tok Guru Nik Aziz ni. Berani kemukakan yang benar. Saya benar-benar harap PAS akan singkir Ustaz Hadi Awang, Mustafa Ali, Harun Taib, Hasan Ali, Harun Din, Nasaruddin Mat Isa dan Nasrudin Hasan Tantawi (antara yang lain2)
Memang perlu ! Kita mesti buang semua pemimpin PAS yang berminat dengan politik assabiyah terutama sekali Hasan Ali.
Post a Comment