21 October 2009

Pemuda PAS serah memorandum undi pos Bagan Pinang



Table 1: Keputusan pengundian mengikut peti undi

MEMORANDUM ADUAN KEPADA SUHAKAM MENGENAI KETIDAKTELUSAN UNDI POS KHUSUSNYA MENGENAI PRK N.31 BAGAN PINANG YANG DIADAKAN PADA 11/10/2009.

BAHAWASANYA Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menjamin tiap-tiap warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun dan bermastautin di Malaysia berhak untuk didaftarkan sebagai pengundi dan berhak mengundi di dalam bahagian pilihanraya yang ditetapkan;

BAHAWASANYA Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin semua orang termasuk pengundi pos yang terdiri daripada askar, polis dan lain-lain kumpulan adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang;

BAHAWASANYA Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan tiap-tiap warganegara untuk bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran termasuk bagi tujuan berkempen kepada para pengundi pos khususnya anggota tentera dan polis;

BAHAWASANYA Perkara 21(3) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) menjamin kemahuan rakyat hendaklah menjadi asas kewibawaan kerajaan dan kemahuan ini hendaklah dibuktikan melalui pilihanraya berkala yang sejati yang mana hendaklah diadakan secara sejagat dan sama rata dan hendaklah diadakan secara undi sulit atau melalui acara pengundian bebas yang ketara;

BAHAWASANYA Laporan Tahunan SUHAKAM tahun 2007 telah menekankan tema pilihanraya yang bebas dan saksama serta kebebasan bersuara, berhimpun dan pentingnya kesamarataan antara calon serta parti yang bertanding bagi mewujudkan masyarakat demokrasi yang madani;

MAKA saya, Suhaizan bin Kaiat mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Jawatankuasa Khas Undi Pos PRK N.31 Bagan Pinang ingin membuat aduan berkaitan ketidaktelusan dalam perjalanan pilihanraya yang melibatkan undi pos. Berikut adalah aduan yang telah saya terima sepanjang perjalanan pilihanraya kecil N. 31 Bagan Pinang yang diadakan pada 11 Oktober 2009.

KES 1 : SISTEM UNDI POS YANG LONGGAR

Maklumat Pengundi Pos Di N31 Bagan Pinang adalah seperti berikut :

A. Pecahan Mengikut Jenis Perkhidmatan :

1. Pengundi pos (Tentera) : 4,571
2. Pengundi pos (Awam) : 9
3. Pengundi pos (Polis) : 31

Jumlah pengundi pos : 4,611

B. Pecahan Pengundi Pos Hadir dan Tidak Hadir

1. Pengundi Hadir (Hadir ke Kem) : 1,631
2. Pengundi Hadir Tetapi tidak datang mengundi : 69
3. Pengundi Tidak Hadir(Kertas undi dipos) : 2,911
4. Pengundi Tidak Hadir Tetapi Kertas Undi Tidak Dikembalikan : 371

C. Keputusan Pengundian

Undi BN : 3,521
Undi PAS : 601
Undi Rosak : 49
Jumlah Undi Diterima : 4,171

Terdapat dua kaedah perlaksanaan Undi Pos yang telah diamalkan oleh SPR, pertamanya Pengundi Hadir dan keduanya Pengundi Tidak Hadir. Pengundi Hadir seramai 1,631 orang adalah pengundi yang berada di dalam Kem. Mereka hadir ke Kem Pusat Latihan Asas Tentera Darat(PUSASDA) untuk mengambil Sampul Keutamaan kemudian mengundi.

Pengundi Tidak Hadir adalah seramai 2,911 orang anggota tentera yang berada diluar Kem atau sedang bertugas. Kertas undi mereka akan diuruskan oleh JRP (Jabatan Rekod Dan Pencen), MINDEF(Ministry Of Defence), Kuala Lumpur. JRP pula akan menyerahkan tugas mengantar Sampul Keutamaan yang didalamnya terdapat kertas undi kepada unit semboyan tentera untuk menghantar dan memunggut kembali setelah mengundi. Keadah penyerahan Sampul Keutamaan ini adalah seumpama memberi kad hari raya atau seumpama memberi kad jemputan. Penyerahan ini tampa kawalan daripada SPR mahupun ejen-ejen pengundian pos. Ia boleh berlaku 24 jam.

Disinilah punca utama yang membuktikan sistem undi pos ini longgar. Manipulator akan menggunakan kesempatan ini untuk mengatur agenda mereka. Contohnya unit semboyan tidak menyerahankan Sampul Keutamaan kepada pengundi sebaliknya mengembalikan kertas undi dalam keadaan yang telah diundi. Keadaan ini sangat mudah berlaku kerana berada diluar kawalan pihak SPR dan ejen pengundian pos.

Baki Sampul Keutamaan yang telah diserah kepada unit semboyan pula tidak pula diserahkan kepada pihak SPR. Contohnya dalam kes Bagan Pinang terdapat 371 Sampul Keutamaan yang tidak diserah kembali kepada SPR. Kecurigaan berlaku di sini. Apakah status pengundi seramai 371 orang ini ? Mengapa kertas undi mereka tidak kembali ? Dimana kertas undi mereka ?

KES 2 : KECURIGAAN TERHADAP PETI UNDI MINDEF

(Rujuk Table 1)

Selepas Proses Penyerahan pada 7hb Oktober 2009, Sampul Keutamaan pengundi pos tentera yang dalam proses peralihan (pencen) telah dihantar ke MINDEF. Selepas Proses Pengiraan pada 11hb Oktober 2009 PAS mendapat 0 di peti undi 14, 15 dan 16. Telah disahkan oleh Ejen Pengundian Pos Sdr. Mohzaid Bin Mohid bahawa peti undi 14, 15 dan 16 adalah datangnya daripada MINDEF. Terdapat 17 peti undi keseluruhan hanya peti undi 14, 15 dan 16 sahaja calon PAS mendapat 0.

Persoalannya mengapa PAS dapat 0 dan BN dapat 881? Apakah munasabah anggota tentera yang dalam proses pencen tidak langsung mengundi PAS? Pengundi-pengundi dalam proses pencen(peralihan) adalah mereka yang sedang mengikuti latihan persediaan untuk pencen. Mereka adalah golongan kritikel kepada Barisan Nasional(BN). Mereka berkemungkinan besar menyokong PAS kerana mereka hampir bebas daripada ikatan tugas sebagai seorang anggota tentera. Saya cukup curiga terhadap peti undi 14, 15 dan 16.

KES 3 : PENGGUNAAN DAFTAR PEMILIH YANG BERBEZA

Semasa proses pengundian pada 8hb, 9hb dan 10hb Oktober 2009. Pihak Kem Pusat Latihan Asas Tentera Darat(PUSASDA) telah menggunakan daftar pemilih yang berbeza daripada yang dikeluarkan oleh SPR. Terdapat banyak perbezaan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Kem.

Berikut adalah perbezaan yang terdapat pada daftar yang digunakan dalam Kem:

1. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor siri pengundi pos yang sebenar seperti yang dikeluarkan oleh daftar pemilih SPR.
2. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor identiti isteri pengundi pos
3. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor lokaliti pengundi pos.
4. Daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor kad pengenalan lama isteri pengundi pos.

Perbuatan di atas adalah menyalahi Peraturan 14A Peraturan-peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang menyatakan bahawa:

“Daftar pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan hendaklah merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi.”

Berdasarkan kepada laporan Ejen Pengundian Pos yang bertugas pada hari tersebut pihak Kem adakalanya menggunakan pen untuk memasukkan nama-nama pengundi yang tertinggal.

KES 4: EJEN PENGUNDIAN POS TIDAK DAPAT MELAKSANAKAN TUGAS

Pada pertemuan dengan SPR pada 28.09.2009 dan 07.10.2009, Pengerusi SPR Tan Sri Abd Aziz Bin Mohd Yusof telah berjanji akan membenarkan ejen pengundian pos membuat semakkan pemilih dan boleh mengesahkan kehadiran pengundi pos di dalam kem seperti pengundian Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu tahun 2008. Malangnya semasa pengundian, ejen-ejen pengundian pos tidak diberikan senarai daftar pemilih yang digunakan oleh pihak Kem dan daftar pemilih Kem sangat berbeza dengan daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR. Pegawai Bertanggungjawab di dalam Kem pun tidak menteriakkan maklumat pengundi kepada ejen seperti yang dilaksanakan dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu. Oleh kerana itu ejen-ejen tidak dapat berperanan seperti yang sepatutnya.

Pengunaan daftar pemilih tentera yang berbeza dengan daftar pemilih SPR telah menyebabkan ejen pengundian pos calon PAS :

1. Tidak boleh mengesahkan identiti pengundi pos semasa mereka datang mengundi.
2. Tidak boleh mengesahkan bilangan keseluruhan pengundi pos.
3. Tidak boleh mengesahkan bilangan sebenar pengundi yang telah hadir dan tidak hadir.
4. Tidak boleh mengesahkan pengundi pos yang meragukan.

KES 5 : DOUBLE VOTE(PENGUNDI BERTINDAN)

Pada 7hb Oktober 2009 suatu pertemuan telah diadakan di SPR. Empat orang wakil PAS adalah Dato Mustafa Ali, Dato Halim Abd Rahman, Sdr. Suhaizan Kaiat dan Sdr. Mohd Mohzit Bin Mohid. Kami telah membantah 253 Pengundi Pos yang mempunyai 2 nama dalam daftar pemilih (Double vote). Berdasarkan kepada daftar pemilih yang telah wartakan pada 15hb September 2009 terdapat 253 pengundi pos di Bagan Pinang boleh mengundi di dua tempat berbeza. Contohnya boleh mengundi di Bagan Pinang, Negeri Sembilan menggunakan identiti tentera dan menggunakan identiti awam di suatu DUN di Kelantan.

Perkara ini bertentangan dengan seksyen 10 Akta Pilihanraya 1958 :

“Tiada seorang pun berhak dimasukkan dalam daftar pemilih sebagai seorang pemilih dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya bagi maksud sesuatu pilihan raya”

Malangnya SPR tetap berkeras percaya bahawa mereka mempunyai kuasa dibawah peraturan 14 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) yang menyatakan bahawa nama pengundi dalam daftar pemilih adalah menjadi keterangan prima facie untuk mereka mengundi walaupun mereka telah pencen.

KES 6 : PENGAKUAN PAK ABU KASSIM

Pada hari Isnin 28hb September 2009 pimpinan PAS yang diketui oleh YB. Dato Abdul Halim Bin Abd Rahman telah berjumpa dengan SPR. Wakil PAS adalah YB. Salahuddin Ayub, Sdr. Kamaruzaman Mohammad , Sdr. Suhaizan Kaiat, Sdr Abu Kassim Bin Ali (Pak Abu Kassim) dan ramai lagi. Pihak SPR pula dibarisi oleh Pengerusinya Tan Sri Abd Aziz Bin Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi Dato Wan Ahmad Wan Omar dan lain-lain lagi.

Pak Abu Kassim adalah bekas anggota tentera berpangkat Sarjan. Berikut adalah sedutan perbincangan dengan pihak SPR.

Suhaizan Kaiat : Selepas Komanden menerima Karung Khas SPR yang di dalamnya terdapat Sampul-sampul Keutamaan dan selepas Proses Penyerahan pada hari pertama bagi menunggu Proses Penyerahan untuk hari yang kedua Karung Khas SPR akan disimpan dalam Gurd Post tentera atau lokup polis atau bilik kebal SPR. Pihak EPP(Ejen Pengundian Pos) tidak dibenarkan berkawal kerana kedua-duanya adalah kawasan larangan untuk orang awam. Keadaan ini mencurigakan. Terdedah kepada sabotaj daripada pihak-pihak tertentu. Kes Al-Maunah dan suspek lari daripada lokup di Kota Tinggi tahun 2008 merupakan bukti-bukti yang balai polis dan Kem Tentera tiada jaminan Karung Khas SPR selamat.

Dato’ Wan Ahmad Wan Omar : Jadi tuan tidak percaya dengan tentera dan polis lah?

Suhaizan Bin Kaiat : Maaf Pengerusi saya minta bekas anggota tentera Pak Abu Kassim yang turut sama datang hari ini beritahu kita bagaimana beliau handle Karung Khas SPR semasa bertugas.

Pak Abu Kassim : Maaf tuan. Saya ni bekas anggota tentera. Terlibat dalam pentadbiran. Sayalah yang pangkah dacing pada kertas-kertas undi tu. Saya pangkah BN. Banyak tuan.

Tan Sri Abd Aziz : Kenapa tak pangkah bulan ?

Pak Abu Kassim : Saya pangkahkan bulan juga tapi saya rosakkan borang 2. Saya takut masa tu tuan sebab pegawai saya duduk belakang saya. Saya patuh ajalah arahan dia.

Tan Sri Abd Aziz : Bila tu Pak Abu?

Pak Abu Kassim : Masa saya bertugas sebelum tahun 2000.

Tan Sri Abd Aziz : Itu cerita lama. Sekarang era saya tak akan berlaku lagi.

Suhaizan Kaiat : Lama memang lama. Tapi sistem tetap sama tuan.

Tan Sri Abd Aziz : Sekarang tidak akan berlaku lagi.

Sedutan pertemuan ini membuktikan bahawa mudahnya undi pos dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.


KES 7 : CARA SERAHAN SAMPUL KEUTAMAAN

Semasa dalam Proses Penyerahan atau Proses Pengundian Pos dibuat dalam PRK Bagan Pinang. Sepasang suami isteri yang namanya ada dalam daftar pemilih sebagai pengundi pos tetapi kertas undinya tiada di Pusat Latihan Asas Tentera Darat(PUSASDA) telah menghubungi saya. Kemudian saya telah memberi nasihat agar membuat semakkan kali kedua pada hari esoknya dengan membawa salinan daripada semakkan daftar pemilih yang terdapat dalam laman Web SPR.Hari keduanya pasangan ini pergi ke PUSASDA tetapi jawapannya juga sama kertas undinya tiada di sana.

Akhirnya mereka menghubungi JRP (Jabatan Rekod & Pencen), MINDF bertanyakan kertas undi mereka. Akhirnya JRP berjanji akan menyerahkan kertas undi di Port Dickson. Esoknya Unit Semboyan datang untuk menyerahkan kertas undi.

Saya dan rakan-rakan membuat intipan bagaimana serahan kertas undi ini dibuat. Akhirnya telah dapati bahawa serahan telah dibuat oleh bebarapa anggota tentera berdekatan dengan Pasar Mini Market pada jam 7.30 malam.Pada hari esoknya unit yang sama juga mengambil semula kertas undi untuk dimasukan ke dalam Karung Khas SPR.

Jika inilah cara penyerahan Sampul Keutamaan maka kaedah ini sangat mudah dimanipulsi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Keadah ini sangat mencurigakan.

KES 8 : PENGAMBILAN SAMPUL KEUTAMAAN UNDI DILUAR MASA MENGUNDI

Pada jam 5.45 petang 10hb Oktober 2009 wakil calon PAS Sdr. Ramli Bin Ismail telah menjadi saksi kepada penyerahan lebihan Sampul Keutamaan yang telah diserahkan oleh Mohamad Bin Ab Ghani Penolong Pegawai Pengurus Pos N31 – Bagan Pinang kepada Kept Azizi bin Elias, Pegawai Tentera di Tingkat 7 Kompleks Pentadbiran Daerah & Tanah Port Dickson.

Berdasarkan kepada perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya pada 7hb Oktober 2009 ,Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menyatakan bahawa lebihan Sampul Keutamaan yang tidak diambil oleh pengundi hadir dalam kem hendaklah disimpan di Pusat Penyimpanan Tingkat 7 Kompleks Pentadbiran Daerah & Tanah Port Dickson dan tidak boleh dikeluarkan lagi untuk sebarang proses pengundian.Tempoh mengundi yang telah dipersetujui oleh SPR adalah pada 8hb, 9hb dan 10hb Oktober 2009 di antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Penyerahan Sampul Keutamaan kepada Kept Azizi bin Elias diluar tempoh mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat(PUSASDA), Port Dickson adalah bertentangan dengan persetujuan yang telah dibuat sebelum ini.

Wakil calon PAS Sdr. Ramli Bin Ismail telah membuat laporan polis pada hari yang sama jam 11.30 malam dan membuat bantahan pada hari esoknya kepada pihak SPR. Akhirnya ejen-ejen pengundian pos daripada PAS telah mendapati bahawa Sampul Keutamaan sebanyak 70 keping ini telah dikembalikan semula pada 11hb Oktober 2009 tampa dihantar kepada pengundi pos terbabit.

Persoalannya, apakah peraturan yang telah digunakan oleh SPR dan pihak Kem sehingga boleh mengeluarkan Sampul Keutamaan di luar waktu mengundi ? Apakah matlamat Kept Azizi Bin Elias dan En. Mohamad Bin Ab Ghani membuat serahan tersebut? Mangapa pula Sampul Keutamaan dikembalikan semula setelah laporan polis dibuat ?

KES 9 : MENTERI BN BERKEMPEN DALAM KEM TENTERA

Saya telah mendapat aduan daripada pengundi pos mengenai Jamuan Hari Raya pada 6hb Oktober 2009 di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) Kem Kg Sawah dimana Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Mohammad Hassan telah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar berkempen calon Barisan Nasional dihadapan anggota tentera dalam Kem tersebut. Beliau telah menyatakan :

“ Pada 8 dan 9 haribulan saudara akan mengundi. Jangan lupa mengundi Barisan Nasional. Boleh atau tidak ?....

Pada majlis yang sama Menteri Pertahanan Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menggunakan kedudukannya sebagai menteri menggugut anggota tentera, akan menarik balik projek-projek yang telah dijanjikan. Beliau telah menyatakan :

“ Ada banyak projek lagi. Saya nak tengok dulu. 11haribulan kita tengok kertas undi dulu. Berapa peratus ? Itu baru 60%. Boleh 100% kita tambah peruntukkan”

Berkempen Barisan Nasional di dalam Kem adalah tidak adil kerana hanya satu pihak sahaja dapat berkempen di dalam Kem. PAS tidak berpeluang berkempen di dalam Kem. SPR tidak langsung menyusun kempen-kempen PAS di dalam Kem.

KESIMPULAN

Berikut adalah 9 Kes yang membuktikan bahawa Sistem Pengundian Pos yang telah diamalkan oleh SPR adalah terlalu longgar, melanggar peraturan dan mudah dimanipilasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya mendesak pihak SUHAKAM membuat pendengaran awam menyiasat kelemahan Sistem Pengundian Pos ini dan mendesak pihak kerajaan memansuhkan sepenuhnya Sistem Pengundian Pos.


Yang Benar


______________________
Pengadu : Suhaizan bin Kaiat
Alamat : Tingkat 2, Pejabat Agong PAS, 318-A Jln Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur
Emel : suhaizankayat@yahoo.com
Faks : 03-26937227

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin