20 October 2009

Pemangku Raja sambut baik usaha Kelantan tuntut royalti



Kerajaan Persekutuan diminta melunaskan bayaran royalti minyak terhadap Kerajaan Kelantan bagi pengeluaran petroleum di negeri itu mengikut perjanjian yang termaktub antara kerajaan negeri dan petronas sejak tahun 1975.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, yang menyambut baik usaha proaktif kerajaan negeri menuntut bayaran berkenaan juga berharap tuntutan itu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Baginda berkata demikian ketika bertitah merasmikan pembukaan Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal yang kedua Dewan Negeri Kelantan yang ke-12.

Titah Tengku Faris lagi, baginda mendapat maklum pengeluaran gas dan minyak di perairan Kelantan telah berjalan sekian lama.

"Berasaskan data dari Jabatan Perangkaan yang diedarkan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan negeri Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh Negara bagi tahun 2005 hingga 2008 sebanyak 5.4 peratus setahun.

"Kadar berkenaan jauh lebih tinggi berbanding Negeri Sabah, mengikut catitan berkenaan juga pengeluaran petroleum dari negeri ini telah bermula sejak tahun 2005 lagi," titah baginda lagi.

Baginda berkeyakinan dengan semangat Persekutuan yang ada, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang menghendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Tengku Faris seterusnya bertitah, baginda difahamkan jarak kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan seperti Join Development Area (JDA) dan Commercial Arrangement Area (CAA) dan lain-lain pelantar yang paling hampir dengan negeri ini.

Tegas baginda lagi, kedudukan strategic itu membolehkan Kelantan memainkan peranannya untuk mendapatkan limpahan aktiviti berkaitan seperti pembekalan bahan keperluan pelantar, pembaikian dan penyelenggaraan kapal, gudang simpanan, industri berkaitan dan lain-lain lagi.

"Beta juga berharap petronas dan Kerajaan Pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti berkaitan di bumi Kelantan berdasarkan kedudukan negeri ini paling hampir dan ianya sudah tentu memberikan kelebihan ekonomik yang tidak boleh diragukan lagi," ujarnya.

Baginda juga turut difahamkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memperbaharui cadangan menjadikan Tumpat dan Bachok sebagai zon khas untuk ekonomi berasaskan petroleum kepada Kerajaan Pusat.

Titah baginda, langkah berkenaan begitu baik dan diharapkan Kerajaan Pusat dalat bertindak secara bijaksana dalam melaksanakan usaha itu.

"Beta juga berharap segala lesen dan kelulusan dari Kerajaan Pusat untuk apa-apa tujuan yang telah beta nyatakan tadi dapat dipermudahkan.

"Jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak diperairan Kelantan dapat dikembangkan dan aktiviti industri berkaitan petroleum dapat dibangunkan di negeri ini, sudah tentu ianya dapat menyumbangkan kepada pemulihan ekonomi Negara khususnya sewaktu kegawatan ekonomi ini,�titah baginda lagi.

Pada masa yang sama baginda turut menghingatkan pihak berkenaan supaya melaksanakan segera projek pembangunan yang telah dirancangkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 memandangkan tempoh itu semakin berakhir.

Titah baginda, sejak tahun 2006 hingga ke hari ini pelbagai projek pembangunan di bawah RMK9 yang telah dirancang dan dilaksanakan di negeri ini dengan peruntukan berjumlah lebih RM7.6 Billion.

"Projek pembangunan yang dirancang itu perlaksanaannya tidak mengikut jadual yang ditetapkan dan ada diantaranya pula masih belum dimulakan lagi walaupun tempoh RMK9 akan berakhir pada tahun 2010,"titah baginda. Hrkh

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin