21 October 2009

Lagi Respon Terhadap Tulisan Dr Aziz Bari

”Kita Sepatutnya Berhati-Hati (Hazar) Agar Tidak Terperangkap”

- KENYATAAN IKPNT TERHADAP TULISAN PROFESOR DR AZIZ BARI

Institut Kajian Polisi Negeri Terengganu (IKPNT ) terpanggil untuk memberi respon terhadap tulisan Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Pensyarah Undang-Undang UIAM, Gombak di dalam ruangan Perspektif Sinar Harian Isnin 19 Oktober 2009 yang bertajuk “Pengajaran dari Bagan Pinang: Pas kena ambil langkah drastik lakukan reformasi kepimpinan”

IKPNT merasakan tulisan tersebut tidak seimbang dan hujah-hujah yang digunakan tidak tepat, memandangkan beliau pada asalnya menyebut “sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting dari sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya”.

Sepatutnya beliau lebih banyak membicarakan kepincangan dalam Pilihanraya Kecil (PRK) tersebut dari sudut undang-undang yang penuh dengan keganasan dan ‘gangstarisme’, segala penipuan yang dilindungi oleh undang-undang. Pandangan Dr Aziz sebagai seorang ahli undang-undang, sebaiknya difokuskan terhadap proses undi pos yang penuh keraguan, Barisan Nasional (BN) yang wewenangnya menyalahgunakan jentera kerajaan, ketelusan SPR yang terus dipertikaikan dan amalan rasuah yang terus berleluasa.

Namun, sebaliknya, beliau seolah-olah ‘tersasar’ lalu membicarakan persoalan tentang keperluan PAS merubah kepimpinan, yang menurutnya mesti dilakukan secara drastik oleh PAS.

Apakah ’sekoyong-koyongnya’, kepimpinan PAS perlu ditukar selepas kekalahan di Bagan Pinang? Apakah rasional akademiknya atau saintifiknya, bagi Dr Aziz, hanya dengan ’satu kekalahan’ di Bagan Pinang mewajarkan Dr Aziz membuat penilaian begitu?

Bukankah PAS menang dan berjaya mengekalkan kerusi Bukit Gantang, Manik Urai dan Permatang Pasir ? Bahkan PAS sudah ’menuai bonus’ dengan merampas kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu!

Dan bukankah semua kemenangan dalam empat PRK yang disenaraikan di atas, digerakkan oleh jentera PAS yang sama, yang dipimpin oleh tokoh-tokoh kepimpinan yang sama, dengan PRK N.31 Bagan Pinang?

Umum sudah maklumi juga mengetahui, penyertaan PAS sebagai ’underdog’ di Bagan Pinang, disedari awal-awal lagi, PAS sukar untuk ’merampas’ DUN tersebut yang memang telah terbukti ’kubu kuat’ BN. Justeru, pemimpin PAS yang menerajui PRK N.31 Bagan Pinang, YB Salahudin Ayub telah pun membuat kenyataan sedemikian

Malangnya, maaf kami terpaksa menyebutnya, Prof. Dr Aziz Bari telah berhujah secara yang tidak professional.

Beliau mungkin terlepas pandang atau kurang faham, sesungguhnya kepimpinan PAS adalah sebuah kepimpinan berjemaah yang membuat keputusan secara ’kolektif’, dan bukan kepimpinan individu ’yang mungkin membuat keputusan secara individualistik’ seperti yang disebut beliau.

Maka, perlu kami sebutkan dengan jelas disini, kepimpinan PAS itu adalah juga ’Kepimpinan Ulamak’ yang menelusuri jejak langkah para ilmuan dan ulamak Islam, lalu (sanggup) mengambil tanggungjawab memikul amanah dari Allah S.W.T dan RasulNya, Muhammad S.A.W. Pemimpin-pemimpin PAS bertindak berdasarkan keputusan-keputusan yang diambil di pelbagai peringkat selaras dengan prinsip Syura yang digunapakai olehnya.

Jelas, melalui tulisannya, Prof. Dr Aziz Bari hanya melihat PAS sebuah parti politik. Sedangkan sepatutnya menyedari, PAS adalah juga sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab dalam menguruskan semua polisi dan kegiatannya di bawah dasar kepimpinannya secara berjemaah.

IKPNT amat mengharapkan Prof. Dr Aziz Bari dapat mengkaji dan meneliti dengan tepat ,keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kritikan yang beliau lemparkan.

Janganlah hanya menjeling kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan kemudian ’melihat dengan juling’ lalu mengatakan bahawa ini betul dan itu tidak betul; sedangkan beliau sendiri tidak mendapat penjelasan rasmi daripada pihak yang berautoriti dalam PAS. Inilah yang sepatutnya beliau lakukan sebagai seorang yang arif dalam bidang undang-undang.

Persoalannya, kenapa beliau telah membuat satu persepsi yang tidak adil terhadap kepimpinan PAS dengan membahagikan mereka kepada dua blok: pro-UMNO dan tidak pro-UMNO?

Isu ini sepatutnya tidak timbul sama sekali kerana penjelasan demi penjelasan telah diberikan mengenainya oleh pemimpin-pemimpin PAS. Adalah lebih bijaksana sekiranya komentar yang dibuat beliau, berlandaskan etika profesionalisme serta kefahaman yang benar terhadap PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Pemimpin-pemimpin PAS, daripada dulu sehingga sekarang telah berjaya membuat perubahan politik dalam Negara, bahkan telah terbukti di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam memartabatkan Islam dan membela umat sejagat. Sesuatu yang amat menghairankan, mengapa Prof. Dr Aziz Bari yang dikatakan ’berada begitu hampir’ dengan PAS, membuat penghakiman yang begitu mudah terhadap kepimpinan PAS?

IKPNT percaya kepimpinan PAS bersikap terbuka untuk menerima teguran. Walaupun begitu, kita sepatutnya berhati-hati (hazar) agar tidak terperangkap dengan agenda musuh untuk mengelirukan umat Islam dan melemahkan Islam.

Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah
Institut Kajian Polisi Negeri Terengganu (IKPNT)
Selasa, 20 Oktober 2009.
Kuala Terengganu.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese