02 September 2009

Suhakam, Polis Masih Enggan Beri Keterangan Bertulis



Polis masih enggan memberi keterangan bertulis kepada inkuiri Suhakam yang menyiasat pencabulan hak asasi lima peguam pada Mei lalu.

Keenggan polis itu memaksa inkuiri Suhakam ditangguhkan kepada 11 September bagi membolehkan panel Suhakam mengambil tindakan lanjut.

Wakil polis Penguasa R. Munusamy menegaskan polis tidak perlu memberi kenyataan bertulis kerana akta Suhakam tidak memperuntukkan keperluan itu.

“Ia bukan bertujuan untuk melambat-lambatkan prosiding inkuiri, ini merupakan pertama kali mereka diminta memberi keterangan bertulis untuk inkuiri dan disebabkan itu mereka enggan. Tiada seksyen yang jelas mengatakan Suhakam boleh mengambil kenyataan bertulis daripada saksi.

“Adakah mana-mana peruntukan di bawah akta Suhakam 1999 yang menyatakan suruhanjaya atau pegawainya untuk merekod kenyataan daripada saksi? Adakah mana-mana peruntukan di bawah akta berkenaan mengatakan saksi perlu mengesahkan kenyataannya?,” katanya ketika mengemukakan hujahan.

Keengganan polis memberikan kenyataan bertulis mengejutkan Suhakam dan pihak terbabit kerana polis hanya memaklumkan pendirian itu selepas inkuiri berlangsung sekian lama.

Inkuiri itu diadakan selepas lima peguam berkenaan ditahan oleh polis semata-mata kerana cuba membebaskan anak guaman mereka yang ditahan di Balai Brickfields kerana menyertai perhimpunan menyalakan lilin bersabit krisis politik di Perak.

Kejadian itu dilihat sebagai kali pertama polis menghalang peguam daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

Wakil kepada lima peguam itu, M. Puravalen berkata, mengikut seksyen 14 (1) Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk mendapat dan menerima kesemua bukti, bertulis atau percakapan, dan untuk memeriksa kesemua saksi yang dirasakan perlu oleh suruhanjaya.

“Sekyen 14(1)(c) Suhakam mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana orang yang bermastautin di Malaysia supaya menghadiri mana-mana mesyuarat Suruhanjaya bagi memberikan keterangan atau mengemukakan apa-apa dokumen atau benda lain yang ada dalam miliknya, dana atau memeriksa orang itu sebagai saksi atau mengkehendaki mengemukakan apa-apa dokumen atau benda lain yang ada di dalam miliknya,” katanya.

Sementara itu, wakil Majlis Peguam Andrew Khoo berkata keterangan bertulis akan membolehkan Suhakam menilai sama ada saksi berkenaan perlu untuk hadir pada inkuiri.

Munusamy bagaimanapun membayangkan bahawa saksi polis tidak mahu terikat kepada kenyataan bertulis kerana khuatir ia akan digunakan pada perbicaraan di mahkamah.

Munusamy mengambil pendirian itu walaupun Pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Denison Jayasooria berkata kenyataan bertulis kepada badan itu tidak akan digunakan untuk sebarang tindakan mahkamah.

“Mungkin ini adalah salah faham polis dengan akta Suhakam. Sebarang kenyataan semasa inkuiri tidak boleh digunakan dalam perbicaraan mahkamah sivil ataupun jenayah,” katanya.

Pesuruhjaya, Datuk Muhammad Shafee menetapkan 11 September bagi menetapkan sama ada polis perlu memberi keterangan bertulis kepada Suhakam.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin