11 September 2009

Isu Kartika: Malaysia tidak perlu tunduk kepada dunia luar sebaliknya patuh kepada ajaran Islam - Nik Aziz

Hukuman sebat yang dijatuhkan kepada model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, perlu dilaksanakan walaupun negara berhadapan kecaman dunia luar, kata Mursyidul Am Pas, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tok Guru berkata, Malaysia tidak perlu tunduk kepada dunia luar sebaliknya perlu patuh kepada ajaran Islam.

“Dunia luar ini dunia Yahudi. Kita mesti tunduk kepada agama bukan kepada dunia luar. Buat apa kita duk sibuk dengan dunia luar. Mereka ini kalau kita tak minum arak pun mereka kata kita tak pandai nak berkawan.

“Bagi mereka yang pandai berkawan ini minum arak, dadah. Kalau boleh bawa perempuan berseronok itu baru dunia luar seronok tapi hati perut kita sebagai hamba Allah takkan kita nak takut kepada dunia luar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim.

Beliau berkata, kita perlu beritahu dunia luar cara yang betul dan bukan dengan cara mengikut kehendak mereka.

“Sebab itu dua tiga hari baru ini saya buat kenyataan keluar dalam Sinar Harian bermakna kita perlu cuba bebaskan diri daripada menjadi pak turut Eropah.

“Cuba ajar diri jadi pak turut Nabi Muhamad SAW. Kalau kita tanya dunia luar bukan mereka setuju, pedulikan mereka. Hak dia (barat) nak kata, biar dia kata. Tapi kewajipan orang Islam ni kena jawab.

“Kita tak boleh sekat mulut orang tapi kita jawab. Mana boleh kita nak ikut orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman yang dibuat negara luar dan media asing ekoran hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan minum arak di khalayak ramai.

Beliau berkata, hukuman sebat di dalam Islam bukan empat atau lima sebatan sebaliknya hukumannya 80 rotan.

“Dan rotan dalam Islam ni rotan bukan untuk suruh sakit tapi untuk malu. Hudud ni Kelantan dah buat. Kami berbincang dengan ramai tokoh termasuk Ketua Hakim sekarang.

“Kami dah buat dah draf dan lulus kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat (dulu) kata kalau buat juga benda ini akan diambil tindakan,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tetapi sekiranya pembangkang (Pakatan Rakyat) menguasai tampuk pemerintahan ia akan dilaksanakan.

“Bila kita yang sekarang ini dipanggil pembangkang menguasai Kuala Lumpur pandai la kita buat. Dia (Kerajaan Pusat) nak kata apa dah.

“Usaha akan terus dilakukan sehingga kiamat. Kalau DAP tak nak terima kita akan tanya di mana tidak kena dan sekiranya dia boleh beritahu di mana saya akan terima,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang menjadi masalah sekarang bukan DAP tetapi orang Islam sendiri. – Sinar Harian

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin