30 September 2009

Selangor to repossess cattle land



Selangor Kenalpasti 100 Ekar Tanah Untuk Penternak Dan Bertindak Rampas Tanah Tapak Pelupusan Sampah Haram

Mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor hari ini mengenalpsati tapak seluas 100 ekar di Hulu Selangor untuk dijadikan tapak penternakan untuk penternak di Kampung Sungai Kertas, Gombak yang tertimbus lembu mereka baru-baru ini.

Sementara itu, kerajaan negeri akan merampas tanah tapak pelupusan sampah haram daripada pemiliknya di Kampung Sungai Kertas, Gombak yang telah beroperasi lebih daripada lima tahun lalu.

Kenyataan itu telah dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, berikutan pemilik tanah tersebut enggan menghentikan kegiatan pelupusan sampah haram ini walaupun beberapa kompaun telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Kes ini juga akan di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah injuksi.

"MPS juga memaklumkan beberapa kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik tanah dalam usaha menghentikan kegiatan pelupusan sampah haram ini, dan usaha membawa kes ini ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi menghentikan aktiviti pelupusan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco dan merasmikan Pelancaran Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, SUK, di Shah Alam hari ini.

Jelas Tan Sri Khalid lagi, pada 25 Januari 2007, Pegawai Daerah Gombak telah mengemukakan Borang 7A iaitu Notis Untuk Memulihkan Pelanggaran Syarat di bawah Seksyen 128, Kanun Tanah Negara kepada pemilik tanah untuk memulihkan pelanggaran syarat kegunaan tanah tersebut.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pemilik berkenanan dan keputusan diambil supaya mengeluarkan notis baru untuk pengembalian tanah kepada kerajaan.

"Oleh kerana tiada tindakan yang dibuat sehingga kini, Pegawai Daerah sekali lagi diarahkan untuk mengemukakan Borang 8A iaitu Notis Pengembalian Tanah Kepada Kerajaan di bawah Seksyen 130 Kanun Tanah Negara untuk merampas semula tanah berkenaan daripada pemilik berkenaan," katanya.

Kata Tan Sri Khalid, setelah usaha rampasan selesai dilakukan, MPS akan memantau dan membersihkan kawasan itu dan mendapatkan khidmat pakar daripada Worldwide Holding Berhad dalam usaha memulihara kawasan tersebut.

Jelasnya, kawasan itu telahpun diisytiharkan sebagai ‘kawasan bencana’ dan sebarang aktiviti termasuk penternakan tidak sesuai dijalankan.

"Kawasan tersebut telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana semenjak 4 September dan usaha memadamkan kebakaran sampah yang telah mencecah ketinggian 300 kaki.

"Berkenaan dua penternak yang terlibat, Exco juga dimaklumkan oleh MPS bahawa aktiviti penternakan tidak sesuai dijalankan di kawasan itu kerana pencemaran yang berlaku," katanya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin