21 September 2009

PAS bantah lagi, gesa konsert Beyonce dibatalkan

Pemuda PAS, yang pernah membantah konsert penyanyi Beyonce Knowles dua tahun lalu sehingga ia terpaksa dibatalkan, meneruskan pendiriannya dengan menggesa kerajaan membatalkan persembahan artis itu di ibu negara bulan depan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pihaknya mahu kerajaan menarik balik permit membolehkan konsert itu - Beyonce I Am... World Tour Live in Malaysia 2009 diadakan 25 Oktober ini.

"Dewan Pemuda meminta kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab agar menarik balik kebenaran (yang telah diberikan)... apa tujuan membenarkan konsert ini diadakan?

"Kita tidak mahu kebenaran kepada konsert yang menyuntik kerosakan moral dan akhlak muda-mudi," kata Nasrudin ketika dihubungi.

Selain membantah konsert itu buat kali kedua berturut-turut, Dewan Pemuda pernah menyatakan pendiriannya menentang persembahan Rihanna Live in Kuala Lumpur pada Februari lalu dan kumpulan Michael Lears To Rock awal bulan ini. Turut dibantah ialah konsert Mariah Carey.

Bagaimanapun Nasrudin berkata, pihaknya kemungkinan tidak sempat menghantar memorandum kepada kementerian terbabit kerana akan sibuk dengan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan awal bulan depan.

Penyanyi itu sepatutnya mengadakan konsertnya di Malaysia pada 2007 tetapi dibatalkan ekoran bantahan Dewan Pemuda PAS. Seterusnya artis itu mengalihkan lokasi konsertnya ke Jakarta.

Ketika itu Nasrudin merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS.

Knowles yang terkenal dengan gerak tari bootylicious dijadual mengadakan persembahan julung kali di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur ialah salah satu destinasinya dalam siri konsert dunia yang meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia.

Penganjur konsert itu ialah Marctensia dan UCSI Communications.

Siri konsert dunia itu diadakan sempena pelancaran album ketiganya, I Am… Sasha Fierce yang merangkumi lagu-lagu hit seperti If I Were a Boy, Single Ladies (Put a Ring on It), Halo, Sweet Dreams dan Broken-Hearted Girl.

Nasrudin menambah, pihaknya tidak bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah konsert itu daripada diadakan.

"Sebaliknya kami akan mengedarkan risalah bagi mendidik peminat-peminatnya daripada menghadiri konsert tersebut," kata beliau sambil menambah, risalah akan diedarkan di pintu masuk konsert itu diadakan kelak.

"Kita bukan antihiburan, bukan menentang semua bentuk hiburan tetapi membantah hiburan-hiburan yang mendorong kepada keruntuhan moral dan persembahan artis yang tidak bersesuaian," katanya. mStar

1 comment:

bugis said...

kenapa bantah? takut Ahli PAS join concert ke? kalau iman dah kuat buat apa nak takut & bantah, biar lah depa datang, sure tak ada org tengok punya. Kalau ada pun semua org luar, bukan org melayu Islam, biar le dia org. Kalau nak publicity, bantah lah. Niwaitu tu dah tak betul.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese