29 September 2009

Najib diugut penyokong taksub Isa

BAGAN PINANG – Beberapa jam selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin dan menjelang lawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, kumpulan ahli UMNO yang ’taksub’ kepada Tan Sri Isa Samad mengugut untuk melakukan ’boikot’.

Pagi ini, kain-kain rentang yang berbunyi ’Kami Nak Datuk Isa, Kalau Tidak Kami Boikot’ dipasang merata-rata tempat di seluruh DUN Bagan Pinang.

Semalam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, telah membuat kemunculan dalam majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di Taman Intan Perdana dekat sini.

Kehadiran Isa ke majlis tersebut membayangkan ’sokong menyokong’ diantara satu sama lain, antara Isa dan Muhyidin.

Sejak kematian bekas ADUN Bagan Pinang, UMNO Teluk Kemang yang di kuasai oleh penyokong taksub Isa telah membuat keputusan sebulat suara ’hanya Isa, tidak yang lain’ untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Paparan kain-kain rentang mengugut untuk ’boikot’ telah diduga sejak beberapa hari lalu apabila ’cakap-cakap’ tentang boikot pilihanraya Bagan Pinang telah tersebar sejurus selepas Eidul Fitri.

Beberapa orang dikalangan ahli UMNO bawahan yang ’fanatik’ Isa telah pun bercakap tentang perkara tersebut secara terbuka di premis-premis politik umum.

Samada Isa atau selain Isa akan ditentukan sebelum lewat hari ini, apabila Muhyiddin Yassin dijadualkan membuat pengumuman calon ada jam 3 petang ini.

Menurut laman UMNO online, Muhyidin akan berbuat demikian dalam majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama UMNO Bahagian Teluk Kemang yang akan berlangsung di Comand Centre, Batu 6, Jalan Pantai dekat Port Dickson.

Walaupun sewaktu catatan ini dibuat, Najib turut berada di berada di persekitaran kawasan ini, timbul persoalan , mengapa Najib tidak mengisytiharkan calon UMNO/BN.

Sekitar jam 1.30 tengahari, Najib masih berada dalam Kem PUSASDA di Batu Empat dekat sini dalam satu majlis ’politik’ bersama warga angkatan tentera.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika dihubungi berkata, PAS juga akan membuat program yang sama dalam kem-kem tentera memandangkan pihak UMNO boleh dan mengapa PAS tidak boleh.

Isu calon UMNO akan mencetuskan perbalahan dan perpecahan dikalangan jentera UMNO, samada Isa atau bukan Isa yang diisytiharkan sebagai calon.

Isa dilaporkan akhbar media perdana sebagai tokoh yang masih mempunyai ’aura’ walaupun imej bersih pemimpin UMNO itu telah dicalari oleh kes rasuah politik.

Sekiranya Isa dipilih, penyokong Isa akan menghamburkan sukacita, sedang disebelah yang lain, penyokong Menteri Besar Mohamad Hassan telah pun menyuarakan akan melakukan ’boikot’ sebagaimana ugutan yang dibuat kumpulan taksub Isa

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese