09 September 2009

Inkues Teoh Beng Hock - Saksi misteri tampil beri keterangan


PERKEMBANGAN INKUES TEOH HARI INI (RABU)

Saksi dakwa didera SPRM beri keterangan dalam inkues

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan pendedahan seorang saksi yang mendakwa didera secara fizikal oleh 10 hingga 15 pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di pejabat suruhanjaya itu di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini.

T. Sivanesan, 23, pembantu pengurus syarikat Puncak Rezeki di Kuantan, Pahang berkata antara bentuk penderaan yang dialaminya termasuklah ditampar, ditumbuk di seluruh badan, dirotan di bahagian kemaluan dan dibelasah dengan menggunakan besi yang dibalut dengan kertas surat khabar.

“Ketika saya didera, saya hanya memakai seluar dalam sahaja dan dalam keadaan tangan bergari di belakang. Saya turut ditendang dan ditumbuk seluruh badan oleh 10 hingga 15 orang pegawai.

“Pada satu ketika, seorang pegawai menyuruh saya memakai semula baju kerana Timbalan Pengarah SPRM turut berada di situ, bagaimanapun timbalan pengarah yang dikatakan itu berkata “Teruskan saja, kenapa, takut ke?” katanya.

Sivanesan yang memberikan keterangan sebagai saksi peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata kejadian penderaaan itu berlaku selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 Sept 2008, bagaimanapun soal siasat terhadapnya berlanjutan selama tiga hari lagi.

Gobind dalam prosiding semalam, memberitahu mahkamah beliau akan memanggil Sivanesan sebagai saksi bagi membuktikan dakwaan bahawa pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat, dan seterusnya menunjukkan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi SPRM, pegawai penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus sebelum ini.

Sivanesan berkata pada hari kejadian (iaitu pada 4 Sept 2008) beliau didatangi tiga pegawai SPRM yang dikenali sebagai Zulkifli, Asyraf (yang diketahui nama mereka kemudian melalui laporan sebuah akhbar tabloid) dan pegawai yang dikenali sebagai J, di rumahnya di Klang sebelum membawanya ke pejabat SPRM di Plaza Masalam, bagi membantu siasatan.

“Ketika ditempatkan dalam sebuah bilik, seorang pegawai SPRM bernama Mohan berkata dalam Bahasa Tamil jika saya tidak bercakap benar tempat ini akan menjadi neraka. Saya juga diarahkan untuk menandatangani surat tahanan dan tangkapan, bagaimanapun saya enggan berbuat demikian kerana pada mulanya saya diberitahu hanya untuk membantu siasatan bukannya ditahan.

“Saya kemudian ditampar oleh seorang pegawai lain kerana masih enggan menandatangani surat berkenaan. Pada masa itu lah pegawai tersebut menyuruh saya membuka baju dan hanya memakai seluar dalam,” katanya.

Sivanesan berkata beliau turut dilempar dengan kata-kata kesat, ditutup mata dengan kain tuala dan dirotan kemaluan oleh pegawai dikenali sebagai Ashraf sehingga menyebabkannya mengalami kesakitan selama hampir 20 minit.

Sivanesan berkata beliau pengsan setelah dipukul teruk dan ketika tersedar pada pukul 6 pagi esoknya, beliau mendapati seketul ais dalam bungkusan plastik telah diletakkan dalam seluar dalamnya.

Kata saksi itu lagi kejadian sama turut dialaminya pada hari kedua menyebabkan seluar dalam yang dipakainya terkoyak pada bahagian depan dan belakang akibat dirotan sekali lagi di bahagian kemaluan oleh Ashraf.

Seluar dalam berwarna putih tersebut turut ditunjukkan oleh Sivanesan di mahkamah hari ini.

“Pada hari kedua juga saya turut ditumbuk perut, punggung, kepala dan dilempang oleh seorang pegawai di koridor pejabat SPRM. Apabila ada pegawai lain memberitahu timbalan pengarah ada di situ, pegawai itu tidak mengendahkannya sambil berkata : “Semalam pun dia bagi (mendera mangsa)”.

“Selepas dipukul pada hari kedua saya diberikan panadol dan minyak sapu.

Apabila dibebaskan saya membuat laporan polis yang ditaip oleh bapa saudara saya iaitu Muthiah. Pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Firdaus memberikan surat supaya saya membuat pemeriksaan di klinik,” katanya.

Sivanesan berkata pihak klinik kemudian merujuk beliau ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dan dia ditempatkan di wad selama empat hari kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, buah pinggang dan kemaluan.

“Bapa saudara juga menyuruh saya mengambil gambar kecederaan tersebut.

Selain pihak polis, saya turut membuat laporan kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah melalui Biro Pengaduan Awam (BPA).

Menjawab soalan Gobind sama ada beliau tahu di antara keempat-empat agensi itu yang manakah mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan lanjut, Sivanesan berkata, “ Yang saya tahu BPA ada menjalankan siasatan”.

Sementara itu, peguam mewakili Kerajaan Selangor Malik Imtiaz Sarwar berkata pihaknya akan memanggil pakar forensik patologi terkenal dari Thailand iaitu Pornthip Rojanasunand untuk memberikan keterangan Isnin depan, selain memanggil semula pakar patologi HTAR Dr Khairul Azman Ibrahim.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok dengan sesi soal balas Sivanesan oleh peguam mewakili SPRM Datuk Abdul Razak Musa. — BERNAMA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese