14 September 2009

Calon Bagan Pinang: PAS bermesyuarat semalam | PKFZ

Jawatankuasa PAS Pusat – yang bermesyuarat semalam mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang – telah membincangkan soal calon sekiranya kepimpinan PAS Negeri Sembilan memajukan senarai namanya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini pihaknya belum menerima senarai cadangan calon dari kepimpinan PAS negeri itu.

“Kalau wakil PAS Negeri Sembilan bawa nama calon, kita akan bincang,” katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Mesyuarat itu berlangsung di pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut, jam 4 petang.

Sebelum ini dilaporkan, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar adalah antara tiga nama yang dijangka dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dua lagi nama ialah bekas pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rosli Yaakob dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Ditanya mengenai ura-ura Umno mahu meletakkan bekas menteri besar, Tan Sri Isa Samad sebagai calon, Mahfuz berkata, terlalu awal untuk beliau memberi sebarang pandangan.

Ini kerana, BN masih belum memutuskan siapa calon yang sesuai untuk mewakili parti tersebut, katanya.

“Kita menghormati hak Umno untuk meletakkan siapa calonnya. PAS akan menghadapi siapa sahaja.

“Itu hak mereka. Kita tidak bermasalah untuk menghadapi mereka dalam apa jua bentuk dan latar belakang calon,” katanya.

Ditanya berhubung isu yang akan dibangkitkan dalam kempen pilihanraya kecil tersebut, Mahfuz berkata, banyak isu yang akan dijadikan modal untuk berkempen.

Beliau menyimpulkan isu tersebut meliputi soal “integriti dan kredibiliti pimpinan negara” yang didakwanya “telah tercabar dan tercalar” seperti dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Mahfuz menyeru agar petugas parti dan kepimpinan Pakatan Rakyat menyusun gerak kerja dengan lebih berkesan dan turun padang untuk memperlihatkan kebersamaan dengan rakyat bagi memastikan kejayaan di Bagan Pinang.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese