14 August 2009

Teori Bunuh Diri Dipertikai



Inkues Teoh Beng Hock hari ke sembilan.

Saksi ke 10 patologis kerajaan Dr Khairul Azman Ibrahim yang keterangannya tergendala tiga hari lalu apabila beliau mengadu tidak sihat menyambung keterangan hari ini dengan mengutarakan teori bunuh diri sebagai kemungkinan punca kematian Teoh Beng Hock.

Namun sebelum itu Dr.Khairul turut mengetengahkan teori kemalangan sebagai kemungkinan punca kematian tetapi memberitahu mahkamah ia lebih condong kearah bunuh diri.

Teori itu dipertikai Gobind Singh Deo, peguam yang mewakli keluarga mendiang Beng Hock kerana pandangan Dr. Khairul tidak disokong bukti.

Malah terdahulu Dr.Khairul memberitahu mahkamah tidak ada kesan DNA daripada pegawai SPRM atau pihak lain yang ditemui, sesuatu yang bercanggah dengan keterangan pakar DNA Dr.Seah Lay Hong.

Dr.Seah sebaliknya berkata DNA dua lelaki tidak dikenali dikesan di tali pinggang dan belakang jaket mendiang Beng Hock.

Dr.Khairul ialah Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik Hospital Ampuan Rahimah Klang.

Gobind memulakan sesi soal balas dengan bertanyakan kepada saksi mengenai skop tugas Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik.

Dan disusuli soalan adakah beliau tahu ketinggian dari tingkap yang disyaki mendiang Beng Hock jatuh dengan tempat mayatnya ditemui dan adakah ia penting untuk untuk membuat perkiraan kecederaan yang mungkin dialami mangsa?

Dr Khairul mengakui ia penting tetapi beliau berkata tidak mengukurnya.

Gobind kemudiannya bertanya adakah saksi mengukur jarak mayat ditemui dengan dinding yang menempatkan tingkap diukur, Dr. Khairul juga mengatakan tidak kerana tidak membawa alat pita pengukur.

Malah pakar forensik itu berkata, beliau turut tidak melakukan sebarang ukuran di antara kasut kiri mayat dengan anggota badannya apabila ditanya oleh Gobind.

Apabila ditanya oleh Gobind, adakah ia tidak penting, doktor itu berkata, beliau berpendapat kasut itu mungkin terpelanting ketika Beng Hock jatuh.

Gobind kemudiannya memberitahu Dr. Khairul tidakkah pihaknya mengukur sama ada kasut mangsa itu mengikut ukuran kakinya atau lebih besar, Dr Khairul menyatakan tidak mengukurnya.

Gobind kemudian memberitahu mahkamah sebagai pakar Dr. Khairul harus mengambil ukuran tersebut kerana ia penting untuk mengetahui bagaimana kasut itu boleh terpisah dari mayat.

Keadaan di mahkamah sedikit tegang dengan pertanyaan-pertanyaan Gobind yang ada ketikanya tidak dapat dijawab oleh saksi.

Dr. Khairul bagaimanapun cuba mengukuhkan hujahnya dengan membuat demo bagaimana mangsa mungkin membunuh diri tetapi sekali lagi Gobind memberitahu mahkamah, jika begitulah cara yang digunakan oleh mangsa ketika mahu membunuh diri, kesan jari mangsa pasti terdapat di tebing tingkap.

Dua pegawai polis dari unit forensik sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa tiada kesan cap jari mahupun tapak kasut yang dapat dikesan di tingkap berkenaan.

Gobind berkata, pihaknya menganggap teori Dr. Khairul telah dimusnahkan.

" Keterangan pada pagi ini, Dr Khairul bangkitkan beberapa teori dan salah satu teori itu Teoh terjun dan membawa kepada kematiannya tetapi tadi pemeriksaan balas, kepada saksi kami dapat menentang teori yang dibangkitkan beliau. Kami akan terus memajukan dengan teori kami sendiri bahawa Teoh Beng Hock tidak terjun atau membunuh diri. Ia satu kes yang jelas ada peristiwa lain di situ. dan kami nak tahu apakah peristiwa yang berlaku"

Gobind berkata pihaknya akan memastikan keadilan diberikan kepada keluarga mendiang Beng Hock.

" Kami juga tidak akan membenarkan barang apa jua keterangan yang penting melalui kami dengan begitu sahaja"

Inkues bersambung Isnin ini. TVA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin