18 August 2009

Ronnie Minta Polis Serahkan Semula Buku Pelawat



Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu hari ini meminta pihak polis memulangkan semula buku pelawat asal yang diambil dari pejabatnya, semalam.

Menurutnya, tindakan pegawai itu tidak wajar kerana kerajaan negeri dalam satu kenyataannya minggu lalu, telah mengeluarkan arahan supaya dokumen asal tidak dipindahkan dari pejabat masing-masing.

Ronnie hari ini mengulas tindakan polis, berhubung perkara itu di Bilik Mesyuarat Melor, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

“Saya nak beritahu semua la, MACC ke polis ke, mana-mana pihak apabila buat siasatan mereka tak boleh ambil dokumen original daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri, exco telah buat satu kenyataan minggu yang lalu, mana-mana pihak kalau mahu buat siasatan tidak boleh ambil dokumen yang original kerana apa, kerana yang original hak milik kita punya, harta kita punya”,katanya.

Jelas Ronnie, tindakan itu bagi memastikan tiada pemalsuan dalam buku pelawat berkenaan.

Semalam, dua anggota Polis Bukit Aman menyerbu dua pejabat Exco Selangor berhubung satu laporan polis, kononnya pejabat mereka digunakan oleh anggota kongsi gelap untuk berbincang aktiviti-aktiviti haram.

Dua pejabat itu ialah pejabat Ronnie dan Pejabat Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Dalam serbuan itu, pegawai polis berkenaan turut mengambil buku pelawat asal daripada pejabat Ronnie.

Dalam pada itu, Ronnie turut menolak dakwaan SPRM bahawa pembantu khasnya, Wong Chuan How cuba melarikan diri daripada ditahan dan disoal siasat SPRM di Sungai Pelek, Jumaat lalu. TVS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin