14 August 2009

Pergi Tak Kembali - Ustaz Asri dalam kenangan.



Pergi Tak Kembali”, begitulah antara judul lagu sebuah kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani yang hari ini kehilangan vokalis utamanya, Mohd Asri Ibrahim, akibat serangan jantung, pagi tadi.

Anak kelahiran Klang itu rebah secara tiba-tiba semasa pelancaran program Syahadah di Angkasapuri kira-kira jam 10.30 pagi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar.

“Semasa rebah tu lebih kurang dalam 10.30 pagi tadi kitaorang tengah rehearsel program pelancaran dokumentari Syahadah, dia tiba-tiba dia rebah pastu dia tak sedar. Selepas kita dah cuba sedarkan dia, tapi nampaknya tak berjaya dan kita tunggu ambulan lebih kurang 15 minit, mula-mula sampai kita angkat hantar sendiri ke Hospital Pantai. Bantuan CPR tak ada pada masa tu, sebab kita tak jangka dia pitam ataupun pengsan biasa saja kita cuma urut-urut dan bagi air. Disahkan meninggal dalam pukul 11.00 di Hospital Pantai, kita jumpa dengan doktor yang cuba periksa Ustaz Asri”, kata Muhammad Luqman Abd Aziz, anggota Rabbani.

“Masa kawan RTM telefon saya, dia kata ustaz masa ustaz Asri jatuh sebelum dia pengsan tu, dia ada mintak kat saya tapi saya tak bagi benda tu, apa dia, dia mintak quran dia nak baca quran, tu yang dia kata dah tak dapat macam mana, dah tak ada”, kata Mohd Ghazali Ibrahim, adik arwah kepada TV Selangor.

Menurut adiknya, Mohd Ghazali Ibrahim yang ditemui TV Selangor di kediaman ibunya di Kampung Bukit Lancung, Shah Alam, mereka tidak mengetahui Allahyarham menghidap sakit jantung. Selama ini mereka hanya mengetahui Allahyarham menghidap darah tinggi, kencing manis dan gaut.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39, dan enam anak.

Ustaz Asri, nama yang begitu sinonim dengan kumpulan Rabbani sudah hampir 20 tahun menceburi bidang nasyid setelah tertubuhnya kumpulan Nada Murni.

Kemudian pada 1 Mac 1997, Nada Murni diberi nafas baru dengan tertubuhnya kumpulan Rabbani yang dianggotai oleh sembilan orang.

“Perancangan menggantikan, setakat ni belum ada lagi, peristiwa ini mengejut dan belum ada apa-apa perancangan lagi. Dalam seminggu ni kita akan jumpa semula dengan semua kawan-kawan, kita bincang balik apa yang sepatutnya. Buat sementara ni kita cuba hubungi semua penganjur-penganjur persembahan ataupun sebarang program yang melibatkan Rabbani kita cuba hubungi dan terangkan apa yang berlaku kita harap penganjur-penganjur faham dan kita cuba tangguhkan buat sementara waktu”, kata Luqman lagi.

“Arwah Asri Ibrahim tu bukan orang lain bagi saya, kerana dia terlalu rapat, kita memang orang-orang yang dulu sebelum nasyid diterima oleh masyarakat seluruhnya, kitalah yang sama-sama perjuangkannya nasyid ni. Masa tu Nada Murni, saya dalam kumpulan The Zikir, memang kalau diikutkan dari segi pionernya underground kitalah yang buat nasyid ni”, kata Nazrey Johari, bekas kumpulan Raihan.

“Kenangan dengan Ustaz Asri ni masa kita sama-sama belajar dulu, kita banyak kongsi selalu ilmu apa yang dia dapat bagi pada kita kemudian ustaz Asri juga jika ada perkembangan selalu dia hubungi kita, tanya khabar, maknanya selalu walaupun jarang jumpa tapi tak putus dia telefon dia tanya”, kata Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, penyanyi nasyid tempatan.

Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada industri nasyid tempatan, perjuangannya tidak terhenti setakat ini sahaja, semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman hendaknya. -TVS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese