11 August 2009

LPK Buat Laporan Penyelewengan Sehingga RM1 Bilion



Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Lee Hwa Beng membuat laporan polis terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan BTA Architect berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

KDSB adalah kontraktor siap guna bagi projek PKFZ manakala BTA Architect adalah jururunding yang dilantik bagi projek berkenaan.

Beliau yang membuat laporan berkenaan atas arahan Lembaga Pengarah LPK yang bermesyuarat semalam, bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut laporan berkenaan kepada media atas nasihat peguamnya.

“Ada terlalu (banyak) butiran. Saya tidak boleh berkata lebih daripada ini, saya serahkannya kepada polis untuk menyiasat. Jika saya bercakap lebih, kemudian anda laporkan, anda (wartawan) dan saya akan disaman kerana menghina," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang jam 10.15 pagi tadi.

Lembaga Pengarah LPK sebelum ini membuat keputusan untuk membuat laporan terhadap KDSB berhubung dakwaan penyelewengan sehingga RM1 bilion.

Penyelewengan berkenaan dikesan pasukan petugas khas, yang terdiri daripada peguam, akauntan, perunding kos bangunan dari firma-firma profesional yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan dua bulan lepas berikutan laporan audit mengenai PKFZ oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

Laporan berkenaan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat di Putrajaya, semalam.

Lee berkata lembaga pengarah LPK yang akan bermesyuarat minggu hadapan akan berbincang sama ada perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga mengenai menstruktur semula pinjaman bagi projek PKFZ.

“Saya hanya diarahkan untuk membuat laporan polis. Tujuan utama adalah untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin wang bagi LPK,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan medianya berkata, pendedahan Pasukan Petugas Khas berkenaan memperlihatkan kegagalan LPK untuk mengurus tadbir zon bebas berkenaan dengan mantap dan telus.

“Penyelewengan yang didedahkan oleh Pasukan Petugas Khas itu menimbulkan persoalan hubungkait di antara kedua-dua pihak pemaju dan LPK apabila Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil sendiri merupakan ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 hingga 2003, dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah merupakan Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Penglibatan Umno Bahagian Kapar dalam LPK dan KDSB seterusnya menimbulkan isu pertindihan kepentingan(conflict of interest). Keadaan ini bertambah keruh apabila Lembaga Pengarah LPK dilantik daripada kalangan pimpinan komponen Barisan Nasional yang masing-masing berkepentingan sehingga mendorong kepada salah tadbir dan ketidaktelusan LPK,” katanya.

Menurutnya, kerajaan meminta LPK menerima perlantikan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke dalam Lembaga Pengarah LPK agar usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memperbesarkan Pelabuhan Klang supaya Negeri Selangor mendapat Manfaat dengan perkongsian usahasama ini. TVA

1 comment:

kemboja said...

Kucing2 (pengkhianat2) ni....kalau lauk dah di depan mata...sampai ke tulangpun di nak sebat...

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin