27 August 2009

Krisis MCA Kritikal, Chua Soi Lek Dipecat



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin beberapa hari lalu menyatakan Pakatan Rakyat umpama retak menati belah ekoran tindakan DUN Lunas keluar PKR. Namun apa yang berlaku sebenarnya MCA, sebuah parti komponen BN yang utama yang sedang mengahdapi keadaan itu.

Sejurus selepas dimaklumkan beliau akan dipecat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyeru ahli MCA bangkit dan melawan apa yang beliau sebutkan sebagai usaha dalaman menghancurkan parti perkauman itu.

Chua dilaporkan sebagai berkata beliau yakin MCA akan mati sekiranya akar umbi parti itu tidak menzahirkan bantahan mereka kepada pimpinan tertinggi.

Timbalan Presiden MCA Dr Chua Soi Lek dilucutkan keahliannya malam semalam atas tuduhan mencemar imej parti dengan skandal seks beliau. Chua dalam blognya mempersoalkan tindakan jawatankuasa displin yang menghukumnya selepas 21 bulan skandal itu berlalu.

Chua berkata tindakannya memikul tanggungjawab perbuatan itu dengan melepaskan semua jawatan parti dan jawatan kerajaan adalah tidak mencukupi buat jawatankuasa displin parti. Namun bagi Chua, pemecatan beliau bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Presiden MCA Ong Tee Keat mahu kerjaya politik beliau ditamatkan.

Chua, yang berkhidmat sebagai pengerusi bahagian MCA sejak 1985, dilucutkan keahlian selepas jawatankuasa displin parti perkauman itu menyorot kembali rakaman sulit perselingkuhan beliau dengan seorang wanita pada penghujung tahun 2007.

Pada Januari 2008, Chua melepaskan semua jawatan yang disandang sebagai hukuman kepada perbuatan beliau. Namun pemilihan parti MCA Oktober tahun lalu menyaksikan Chua di lantik ke Timbalan Presiden MCA selepas meraih sokongan kuat dari akar umbi.

Perseteruan antara Chua dan Presiden Ong Tee Keat bermula sejak itu, dan Ong dilihat sebagai dalang kepada pemecatan ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Lee Boon Chye berkata perpecahan dalaman MCA semakin parah dengan pemecatan Chua Soi Lek. Ahli Parlimen Gopeng itu menambah beliau tidak yakin kemelut dalaman ini akan surut dalam masa singkat.

"Apa yang berlaku menunjukkan perpecahan yang serius dalam MCA. Pasca PRU12 sehingga ke hari ini, MCA masih bercelaru dalam keadaan berpecah-belah. Dengan kemelut ekonomi, wabak H1N1, skandal itu dan ini, MCA dilihat tidak mampu menumpukan perhatian dan sumbernya kepada memajukan hasrat rakyat. Sebaliknya, mereka bercakaran dan berebut kuasa," kata Dr Lee.

"Perpecahan ini juga di dorong oleh keputusan PRU12 sehingga ke PRK Permatang Pasir baru-baru ini, yang menunjukkan masyarakat Cina menolak MCA," kata Dr Lee.

Ong menafikan sebarang hubung-kait dengan pemecatan ini, namun persepsi rakyat adalah Ong telah mendorong jawatankuasa displin untuk menyiasat semula Chua meskipun si pengadu telah menarik-balik aduannya.

Chua dalam jawab balasnya berkata pertelingkahan antara beliau dan Ong tidak boleh lagi dilihat sebagai isu peribadi. Chua dalam blognya menulis Ong telah gagal memulihkan kedudukan MCA yang hilang hala-tujuan dan hilang sokongan masyarakat Cina pasca PRU12 lalu.

Chua menambah keputusan PRK Permatang Pasir menunjukkan bagaimana masyarakat Cina telah menyisihkan MCA. Beliau berkata sekiranya akar umbi MCA bangkit, maka kejatuhan parti perkauman itu dapat diselamatkan.

Seolah-olah menyahut seruan Chua itu, akar umbi MCA mula menggerakan kempen memanggil persidangan tahunan tergempar, atau EGM, untuk menyingkirkan Ong.

Dikepalai Pengerusi pro-tem Kempen Selamatkan MCA, Datuk Theng Book, matlamat EGM ini adalah untuk membatalkan pemecatan Chua, serta mengadakan undi tidak percaya terhadap Ong selaku Presiden.

Dalam masa yang sama, lima bahagian MCA Perak menyeru supaya Ong digantung atas dakwaan menerima sumbangan RM10 juta ringgit dari Pengerusi Kelab Penyokong BN, Tiong King Sing.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin