Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim berkata tuduhan "pengkhianat" yang dilemparkan Umno menunjukkan parti perkauman itu semakin terdesak untuk memenangi sokongan rakyat dalam pilihanraya mendatang.
Anwar menjelaskan PKR mempunyai hujah tuntas untuk mematahkan fitnah jahat pimpinan Umno yang kembali bertaut pada taktik perkauman setiap kali kedudukan mereka terancam.
"Pimpinan UMNO dan konco-konco mereka memintal propaganda yang memanipulasi simbol-simbol tentang bangsa, agama dan raja dengan hasrat agar pemikiran rakyat kembali sempit dan mundur. Ini bukanlah kali pertama saya menjadi sasaran di dalam isu pengkhianatan ini. Mereka telah mencuba puluhan kali sebelumnya. Usaha terbaru dengan menghebahkan isu pengkhianatan ini jelas menjadi petanda mereka kian terdesak," kata Anwar.
Pemimpin reformasi itu menambah PKR dan Pakatan Rakyat mahu melaburkan masa dan tenaga untuk memacu perubahan politik baru dan enggan terjerumus dalam politik murahan Umno-Barisan Nasional.
Anwar seraya menggesa penyokong-penyokong gagasan parti pemerintah itu supaya membuka mata kepada siri laporan polis dan tuduhan rasuah yang terpalit pada tubuh pimpinan Umno-BN - jenayah dan pengkhianatan yang bukan lagi rahsia dan diketahui umum.
"Pengkhianatan amanah rakyat oleh pimpinan UMNO berterusan dengan skandal penyelewengan dana awam berbillion ringgit di atas nama komisen pembelian senjata, mengaut saham, kontrak dan lesen yang diperuntukkan untuk bumiputera tetapi dikaut oleh keluarga serta kroni mereka," kata Anwar.
"Kita juga tidak lupa bahawa pimpinan UMNO-lah yang menghina institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 dan 1993. Malahan mereka menghina Islam dengan memperbanyakkan lesen perjudian serta menggadai gunung dan bukit kepada tauke-tauke judi terbabit. Hatta pentadbiran UMNO sanggup menggadai kepentingan petani dan peraih kecil Melayu dengan menjual saham Bernas kepada syarikat asing," tambah beliau.
Anwar meminta rakyat dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat supaya menerima dugaan ini dengan kesedaran bahawa Umno-BN semakin tertekan dengan kemaraan politik pembaharuan yang semakin hampir.
Pemimpin reformasi itu menambah PKR tidak gentar dan tidak goyah dengan serangan propaganda pemerintah.
"Saya tidak berhasrat untuk terjebak di dalam pertikaian peribadi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya akan hanya berhujah dari sudut dasar," kata Anwar dan menambah, "Kita menyakini mempunyai hujah-hujah yang cerah dan jitu untuk menangani politik kebencian pimpinan UMNO yang memperolok simbol-simbol bangsa, agama dan raja, semata-mata untuk mengekalkan kekuasaan dan menutup pekong rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa."
"Kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang ditandatangani oleh YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, YB Lim Kit Siang dan saya sendiri pada mesyuarat 8 September 2008, menegaskan komitmen kami menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan," tegas Anwar. TVA
No comments:
Post a Comment