11 August 2009
'Death caused by injuries from fall'
Pakar: Punca Kematian Akibat Kecederaan Beganda Jatuh Dari Tempat Tinggi
Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Teoh Beng Hock mendapati beliau mati akibat kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat tinggi.
Saksi ke 10 dalam prosiding hari ini, Dr Kamal Azman Ibrahim yang merupakan Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dalam kenyataanya kepada mahkamah berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mendapati tiada kesan ketara kecederaan akibat pergelutan.
Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan pada 17 Julai lalu turut mendapati tiada sebarang kecederaan ketara akibat mempertahankan diri pada kedua-dua bahagian tangan mendiang atau di mana-mana bahagian lain.
Beliau berkata, kecederaan yang dialami Beng Hock adalah konsisten dengan kecederaan sekiranya seseorang itu jatuh dari tempat tinggi.
“Tidak tedapat kecederaan mempertahankan diri yang jelas pada mana-mana bahagian kecuali kesan impak jatuh,” katanya.
Dalam keterangannya, Khairul turut menyatakan mayat Beng Hock mengalami pelbagai kecederaan luar termasuk retak dan patah tulang, lebam-lebam, dan patah gigi atas hadapan sebelah kanan.
Mahkamah turut diberitahu, mayat juga mengalami pelbagai kecederaan dalaman antaranya, retak tengkorak, pendarahan di rongga dada dan paru-paru, luka pada jantung dan pendarahan di abdomen.
Ditanya mengenai anggaran masa kematian Beng Hock oleh peguam yang mewakili kerajaan Tan Hock Chuan, Khairul berkata, mangsa mati enam hingga lapan jam sebelum jam 7.30 petang.
“Anggaran masa yang saya boleh beri berdasarkan pada keadaan mayat yang belum busuk, saya percaya si mati mati kurang dari 36jam dari tarikh bedah siasat. Saya juga dibenarkan memeriksa kaku mayat di tempat kejadian (7.30 petang 16 Julai) dan mendapati telah kaku.
“Maknanya mangsa telah mati 6 hingga 8 jam sebelum 7.30 petang. Tetapi saya juga telah diberitahu oleh pengawal menjumpai mayat pukul 2 petang, maknanya si mati, mati sebelum pukul 2,” katannya.
Dalam prosiding berkenaan, Khairul turut diminta menjelaskan bagaimana cara mendiang mendarat di lantai koridor tingkat lima di mana mayat ditemui.
“Pada pendapat saya berdasarkan kecederaan yang diperiksa si mati dipercayai mendarat dengan kaki lebih pada kaki sebelah kanan dan dipercayai badan condong ke kanan. Punggung turut mendarat bersama kemungkinan serentak. Ada kemungkinan condong ke depan berdasarkan tulang rusuk patah dan bintik-bintik pada bahagian depan tangan kanan,” katanya.
Semasa beliau membuat demostrasi bagaimana cara Beng Hock mendarat suasana mahkamah kecoh seketika apabila seorang lelaki Cina yang duduk di bahagian bangun dan berkata: “Tak Nampak!,”
Koroner Azmil Muntapha Abas kemudiannya membenarkan para wartawan dan orang awam ke hadapan bagi menyaksikan dengan lebih dekat demostrasi berkenaan.
Mahkamah diberitahu, Khairul dibenarkan ke lokasi mayat ditemui jam 6.40 petang 16 Julai lalu bertujuan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai tempat kejadian supaya menyenangkan beliau dan seorang lagi pakar bedah dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Prashant Naresh Samberkar menerangkan cara bagaimana Beng Hock mengalami kecederaan.
Katanya ketika tiba dilokasi mendapati mayat telah ditutup dengan plastik hitam dan setelah dibuka, mayat dilihat terbaring mengiring ke kanan dengan tangan kiri di atas dan tangan kanan dihimpit ke bawah oleh badan.
Manakala kaki kiri di atas dan kaki kanan masih terdapat kasut yang dipakai tetapi kaki kiri tidak terdapat kasut.
“Saya dapati terdapat darah berhampiran dengan mulut dan juga kami memeriksa kawasan berhampiran mayat dan dapati terdapat kesan calar pada lantai iaitu berhampiran dengan bucu saluran air hujan.
“Saya dan Dr Prashant berbincang untuk menentukan lokasi mendarat dan memeriksa kasut yang terdapat pada kaki kanan si mati dan menjumpai kasut sebelah kiri berada tidak jauh dari mayat,” katanya.
Khairul memberitahu mahkamah, sebelum beliau dan Dr Prashant bersama beberapa anggota polis naik ke tingkat atas bangunan berkenaan, beliau memandang ke atas untuk mencari lokasi kemungkinan Beng Hock jatuh, dan mendapati satu tingkap terbuka luas hampir bertentangan dengan mayat ditemui dan dimaklumkan ia berada di tingkat 14.
“Masa tiba di tingkat 14, saya dibawa ke bahagian di mana tingkap tersebut dan berkesempatan bertanya kepada ASP Ahmad Nazri di mana si mati di soal oleh pegawai SPRM dan juga menunjukkan tempat di mana si mati berehat setelah disoal siasat dan juga tempat ianya dijumpai kali terakhir masih hidup.
“Saya ada ukur paras bahu tingkap lebih kurang paras pinggang dan tiada kesan darah, kesan barang-barang bertaburan atau pecah,” katanya.
Sejurus prosiding dimulakan setelah ditagguh pada jam 1 petang, Koroner Azmil kemudiannya membenarkan permohonan agar mahkamah ditangguh sehingga esok kerana saksi tidak sihat.
Di awal prosiding, mahkamah diberitahu ujian yang dilakukan terhadap kesan yang ditemui di ruangan tangga dan pejabat SPRM di tingkat 15 mendapati kesan berkenaan bukan darah.
Hasil pemeriksaan semula yang dilakukan di pejabat SPRM merangkumi meja ping pong, sofa dan tingkap juga tidak menemui sebarang petunjuk.
Bagaimanapun Hock Chuan memberitahu bahawa empat utas benang telah dijumpai di koridor tingkat lima bangunan Plaza Maslam di mana mayat Beng Hock ditemui.
Katanya, pihaknya juga tiada halangan sekiranya pihak peguam pemerhati ingin memohon ujian lanjut dijalankan ke atas benang berkenaan dan meminta seluar Beng Hock.
“Lokasi keempat atas permintaan peguam pemerhati telah ke tingkat lima koriodr. Pada pukul 2.05 petang, pemeriksaan dilakukan dan telah menemui empat utas benang.
“Hasil pemeriksaan habis pukul 2.55 petang, semua ujian yang telah dilakukan telah dibuat oleh pasukan forensik polis dan kehadiaran pegawai penyiasat kedua-dua belah pihak. Hasil ujian adalah negatif.
“Mengenai empat utas benang dengan izin Koroner, kita tiada halangan jika pemerhati hendak meneruskan pemeriksaan,” katanya.
Sementara itu, di luar mahkamah Peguam pemerhati kepada keluarga Teoh, Gobind Singh Doe berkata, prosiding esok akan menyaksikan sesi soal balas antara pihaknya dengan saksi ke 10, Dr Khairul.
“Pada sebelah pagi beliau (Dr Khairul) menyatakan dengan terperinci apa yang dilakukan semasa bedah siasat, beliau juga telah memberikan sedikit pendapat berhubung cara bagaimana Teoh Beng Hock jatuh dan mendarat. Itu adalah pendapat beliau.
“Hari ini keterangan saksi belum lagi disoal balas, kami mempunyai pendapat tersendiri yang akan diajukan kepada saksi esok apabila disoal balas. Apa yang beliau kata hari ini memang pendapat beliau. Ianya belum diuji melalui pemeriksaan oleh pihak kami lagi,” katanya ketika ditanya mengenai keterangan saksi. TVA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment