Kempen kutukan anjuran Umno-BN tidak mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat.
Bahkan, tinjauan mendapati lebih banyak kerusi kosong yang setia mendengar ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berbanding ahli-ahli Umno.
Di Shah Alam, program anjuran Umno diwar-warkan dihadiri kira-kira 1000 orang tetapi ceramah mengutuk Anwar Ibrahim, Pas dan DAP itu nampaknya hanya berjaya mencatu 300 orang.
Mungkin kerana meluat, atau berasa jijik dengan kempen sebegini, ketidakhadiran orang-ramai di ceramah-ceramah panas membawa petanda tidak baik kepada Pemuda Umno.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kegagalan program berkenaan berlaku kerana masih ramai di kalangan ahli Umno yang menyokong Anwar dan laungan 'Anwar Pengkhianat' hanyalah retorik Umno.
"Saya yakin sebahagian besar daripada penyokong Umno masih lagi dengan Datuk Seri Anwar. Oleh kerana slogan pengkhianat ini retorik Umno-BN dan diulang sebab itu saya yakin ia tidak mendapat sambutan kerana mereka tahu sebenarnya siapa yang mengkhianati Melayu, siapa pengkhianat. Kehadiran yang tidak ramai menunjukkan rakyat tidak bersama UMNO.
"Ini jelas menampakan Umno dan BN ketandusan idea dan idea mereka adalah idea lama yang tidak diterima masyarakat kerana merasakan idea ini biadab dan tidak bertamadun," katanya.
Di selatan tanahair, pemimpin kanan Umno sendiri 'mengkhianati' Umno dengan memulaukan perhimpunan mengutuk Anwar Ibrahim di Batu Pahat.
Hanya 400 orang dari sasaran 10,000 orang yang hadir ke perhimpunan kutuk-mengutuk itu.
Bahkan, ramai daripada mereka yang hadir menyisihkan diri daripada perhimpunan berkenaan apabila beberapa pemimpin UMNO memberi ucapan berbau perkauman dalam keghairahan menuduh Anwar sebagai pengkhianat bangsa.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melontarkan tuduhan pengkhianat terhadap Anwar dijadualkan hadir pada perhimpunan itu di Dataran Penggaram.
Namun pemimpin Umno Johor itu sendiri dikatakan menarik diri apabila diberitahu mengenai sambutan dingin terhadap perhimpunan itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pusat Nasruddin Hassan Tantawi berkata, kebayanyakan yang hadir ke program anjuran Umno adalah mereka yang telah dikerah oleh parti berkenaan dan sambutan dingin dari masyarakat merupakan isyarat penolakan rakyat kepada Umno.
"Saya tidak hairan kalau rakyat tidak beri sambutan, 400 dan 300 orang dikira sudah ramai. Mungkin kerana kerahan atau pembiyaian dibuat kepada mereka yang hadir. Biasanya dalam perhimpunan Umno mengikut pengalaman kita dihantar kenderaan, diberikan imbuhan. Kegagalan untuk mendapatkan sokongan itu merupakan isyarat dari rakyat yang UMNO perlu faham," katanya.
Hadirin juga kelihatan terkilan dengan ungkapan-ungkapan kesat dan biadap terhadap Anwar pada pemidang-pemidang Umno yang direntangkan.
Namun sambutan hambar adalah tamparan ke kiri dan kanan muka Muhyiddin dan Khairy Jamaluddin.
Ia juga bukti terbaru bahawa politik fitnah dan serangan peribadi yang dibawa oleh Muhyiddin ditolak oleh akar umbi parti.
Ketua Pemuda DAP, Look Siew Fook berkata, cara Umno menggunakan serangan peribadi merupakan faktor rakyat mula menolak parti berkenaan.
"Saya rasa masyarakat sudah muak dengan cara mereka yang membuat serangan peribadi, kalau mereka hanya bergantung kepada cara ini untuk menyerang keperibadian seseorang pemimpin untuk berkuasa seperti menggali lubang kubur sendiri," katanya. -TVA
No comments:
Post a Comment