16 August 2009

Calon Pakatan Rakyat Yakin Pertahan Kerusi



Calon Pas Dun N11 Permatang Pasir, Mohd Salleh Bin Man, 52, yakin Pakatan Rakyat akan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri meskipun berhadapan dengan pelbagai jentera kerajaan dalam pilihanraya kecil ini.

Dalam satu temubual bersama TVAntara, Salleh berkata beliau percaya kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat akan memastikan kemenangan berpihak kepada Pas. Menurutnya, mempertahankan kerusi ini hanya akan berjaya sekiranya semua pihak meneruskan semangat kerja yang tinggi dan persefahaman yang utuh.

"Kita bukan sahaja berhadapan dengan Umno tetapi dengan jentera kerajaan seperti yang sedia maklum oleh semua pihak. Kita perlu satu semangat dan kerja kuat dalam keadaan mereka menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dan media masa untuk memburukkan parti lawan.

"Dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan selama ini dan hubungan satu pasukan yang dianggap sudah terjalin begitu erat, kita berkeyakinan hubungan ini akan melahirkan satu Impak yang besar.Gelombang kesedaran di kalangan rakyat masih kuat. Oleh sebab itu kita yakin dengan hubungan setiakawan itu akan menghasilkan natijah kita mencapai kemenangan,"ujarnya.

Kata beliau, Umno tidak mempunyai isu untuk dibawa dalam pilihanraya kecil itu sebaliknya membawa isu pembangunan sepertimana dalam pilihanraya kecil di Manek Urai. Janji pembangunan dan sogokan projek mee segera yang menjadi amalan Umno-BN tidak akan berkesan dalam pilihanraya kali ini memandangkan Permatang Pasir sudah mempunyai tahap prasarana dan kemudahan yang baik.

"Dari segi kapasiti peduduk, Permatang Pasir pingiran bandar dan dari segi pembangunan sudahpun wujud, dari segi pembangunan dan infrastruktur, kehidupan dan pekerjaan di dun kawasan Permatang Pasir sudahpun dianggap lengkap. Cuma kita mahu meneruskan agenda untuk memperbanyakkan lagi khitmad, kebajikan ban membantu mereka yang memerlukan pembelaan,"ujarnya.

Menurutnya, sekiranya beliau diberi kepercayaan oleh pengundi untuk berkhidmat di kawasan itu, beliau akan meneruskan agenda yang telah dilaksanakan oleh Adun Pas terdahulu, Allahyarham Mohd Hamdan Abd Rahman.

Beliau mengharapkan sokongan berterusan di kalangan pengundi di Dun Permatang Pasir sepertimana yang diberikan kepada Mohd Hamdan yang berkhidmat dengan baik selama tiga penggal di kawasan itu.

"Bila dipilih sebagai calon saya merasa tanggungjawab untuk pikul dengan amanah yang telah diberi kepada kita apatah lagi apabila mendapat kepercayaan di kalangan pengundi, sudah tentu kesinambungan penerusan kerja yang ditinggalkan oleh arwah dulu diteruskan. Saya insyaalah akan berusaha seperti mana yang pernah dilakukan oleh YB Hamdan dan meneruskan perjuangan beliau,"katanya.

Beliau berkata rakyat khususnya di Permatang Pasir sudah menyedari strategi yang digunakan oleh Umno dan BN dengan memperalatkan media bagi mengelirukan rakyat. Justeru itu, antara strategi yang beliau tekankan adalah mendekati golongan belia dengan maklumat sebenar politik dan sosial hari ini.

"Bukan sekadar pengundi Permatang Pasir yang maklum dengan penipuan yang dilakukan oleh Umno dan BN, bahkan di seluruh negara. Gambaran yang dibuat menimbulkan prasangka tetapi rakyat sudah mula menyedari khususnya di kalangan generasi muda. Saya ingin menarik perhatian pengundi muda dan saya percaya mereka sudah sedar untuk menghadapi perubahan,"ujarnya.

Salleh, atau nama penuhnya Mohd Salleh bin Man Mat AJi, lahir di Permatang Sungai Dua, mendapat pendidikan awal di Sekolah kebangsaan Permatang Buluh, Kepala Batas.

Di peringkat pengajian tinggi, Salleh merupakan lulusan sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya.Beliau mempunyai lima orang anak hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Siti Fatimah Othman, 42.

Selesai tamat pengajian, beliau bertanding dalam pilihanraya pada 1986 sebanyak enam kali di Dun Sungai Tua, Parlimen Tasik Gelugor, Dun Pinang Tunggal dan Dun Permatang Berangan.

Di dalam Pas, Salleh memegang jawatan penting bermula dari Ketua Pemuda Pas cawangan Sungai Dua dan pernah menjawat jawatan YDP Pas Kawasan Tasek Gelugor, Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Ketua Dewan Ulama Pas Pulau Pinang. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri sebelum dipilih menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang. TVA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin