30 August 2009

26 Kes Curi Balak Bernilai RM290,842,44 Tahun Ini, 23 Kes Bernilai RM1,101,659,90 Tahun Lalu

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 26 kes kesalahan hutan dikesan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini yang melibatkan anggaran nilai pokok sebanyak RM290,842,44.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, kesalahan itu melibatkan kes pembalakan haram, pemindahan kayu balak tanpa kebenaran dan pemilikan hasil hutan tanpa cukai.

Katanya, walaupun ia menunjukkan peningkatan dari segi jumlah kes kecurian, namun terdapat pengurangan daripada segi anggaran nilaian pokok.

“Tahun lalu hanya 23 kes dikesan sehingga akhir tahun yang melibatkan anggaran nilai pokok sebanyak RM1,101,659,90 berbanding pada tahun ini sebanyak 26 kes sehingga Julai.

“Hasil siasatan didapati terdapat tujuh kes pembalakan haram yang merupakan kes sejak tahun lalu dan sebanyak lima kes baru pada tahun ini.

“Daerah yang mencatatkan kesalahan hutan yang mempunyai jumlah nilaian pokok tertinggi pula adalah Ajil iaitu RM127,704,50,” katanya sebagaimana dipetik akhbar Utusan

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan bertulis Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, dari segi perundangan kes-kes ini akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15, 40 dan 84 Akta Perhutanan Negara.

“Seksyen itu merangkumi larangan mengambil hasil hutan dari hutan simpanan atau tanah kerajaan melainkan jika dilesenkan.

”Selain itu, larangan memindah apa-apa hasil hutan dari tanah milik, tanah rizab, tanah lombong atau tanah milik sementara melainkan melalui lesen pemindah dan kesalahan memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Tambahnya, bagi membanteras kejadian kecurian balak beberapa langkah-langkah pencegahan telah diambil.

Antara langkah tersebut adalah mewujudkan pasukan rondaan di setiap daerah pentadbiran.

”Langkah lain adalah mewujudkan peta hot spot bagi kawasan tumpuan rondaan dan meningkatkan rondaan, semakan di kawasan hot spot, menggali parit di jalan masuk hutan, menyita peralatan kilang dan mempergiatkan pemeriksaan kayu-kayu balak dalam transit,” katanya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese