03 July 2009

Wacana terbuka, bukan kerjasama-Pemuda PAS



Dewan Pemuda PAS pusat mengeluarkan satu lagi kenyataan petang semalam yang menurutnya untuk memperbetulkan salah lapor beberapa media yang menggambarkan wujud tawaran dialog kerjasama antara Pemuda PAS pusat dan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Ketuanya, Ahmad Sabri Yusof selepas mengadakan sidang akhbar mengenainya petang semalam.

Sehari sebelum itu, Setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara yang sama.

Ia dibuat selepas Pemuda PAS menyerahkan surat rasmi kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia untuk mengadakan “wacana ilmiah terbuka: Benarkah perjuangan Umno tidak bertentangan dengan Islam” kelmarin.

Surat itu diserahkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim di bangunan Parlimen.

Menurut kenyataannya semalam, Ahmad Sabki Yusof berkata wacana ilmiah itu merupakan satu cabaran berhujah oleh Ketua Dewan Pemuda PAS kepada Ketua Pemuda Umno sebagai sokongan kepada cabaran debat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada presiden Umno terhadap kesesatan perjuangan Umno.

“Maka cadangan wacana ini dikemukakan untuk mencari kebenaran atas itu tersebut secara hujah ilmiah.

“Ustaz Nasrudin Tantawi, Ketua Pemuda PAS memutuskan untuk tidak menggunakan istilah debat kerana ternyata Sdr Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno selama ini tidak mampu untuk menyahut cabaran-cabaran debat yang dikemukakan oleh beliau sebelum ini,” kata Ahmad Sabki.

Untuk rekod, tambahnya, Ustaz Nasruddin Tantawi telah sekurang-kurangnya tiga kali mencabar Khairy untuk berdebat sebelum ini dan kesemuanya tidak terjawab.

“Oleh itu, untuk memungkinkan Khairy berhujah dengannya dalam tajuk di atas, beliau menawarkan pentas berhujah pada kali ini di atas nama wacana ilmu.

“DPP juga menegaskan bahawa Dewan Pemuda PAS menawarkan pentas berhujah tersebut secara terbuka, dan bukannya dalam bentuk perundingan seperti yang digambarkan oleh sesetengah media pada hari ini.

“Dewan Pemuda PAS ingin mempertegaskan bahawa cabaran berhujah ini menunjukkan bahawa Dewan Pemuda PAS bersama dengan keputusan PAS dan keputusan Pakatan Rakyat untuk menolak sebarang idea kerjasama dengan Umno dalam apa-apa bentuk sekalipun.

“Kami menawarkan pentas berhujah ini untuk membuktikan bahawa perjuangan Umno mesti ditolak semua rakyat Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS juga ingin mempertegaskan bahawa Pemuda PAS akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk berdepan dan menumpaskan Umno dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai 2009 dan bersedia berhujah dengan Pemuda Umno selepas selesai pilihanraya tersebut,” katanya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin