29 July 2009

Royalti minyak, Kelantan mungkin guna mahkamah antarabangsa



ImageMenteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan mungkin dibawa ke mahkamah antarabangsa sekiranya rundingan secara "persaudaraan" dengan kerajaan pusat gagal mencapai kata sepakat.

Royalti minyak dari kawasan yang terletak di perairan Kelantan perlu diberi kepada kerajaan negeri dan bukannya diambil oleh kerajaan pusat sebagaimana yang berlaku sekarang," katanya ketika mengulas tuntutan RM1 bilion hasil royalti minyak itu.

Isu itu timbul semasa kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Manik Urai baru-baru ini apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Husam Musa, menyuarakan hasrat untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion.

Nik Aziz berkata tidak ada sebab kerajaan pusat tidak memberikan royalti minyak itu kepada kerajaan negeri kerana kedudukan pelantar minyak jelas terletak di kawasan perairan Kelantan.

"Dari segi georgrafinya, dari segi faktanya, kalau Kelantan tiada hak, maka minyak dari pantai Kelantan hak siapa, Terengganu atau Thailand. Kalau tidak hak Terengganu, Thailand akan kata hak dia, ini bahaya kepada politik (negara)," katanya.

Nik Aziz berkata beliau berharap rundingan dengan kerajaan pusat akan diteruskan sehingga matlamat untuk mendapatkan royalti minyak tercapai.

"Kita berunding, kalau boleh secara mudah atau cara persaudaraan. Kalau tidak boleh berunding (kita) akan bawa ke mahkamah. Kalau tidak mahkamah di sini, ke mahkamah antarabangsa," katanya. Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese