10 July 2009

Pelbagai Aktiviti Himp-Best Tarik Golongan Muda

Sinar Harian

BESUT – Lebih 300 ahli Pemuda Pas Kawasan Besut hadir menjayakan program Himpunan Pemuda Islam Besut 2009 (Himp-BEST 09) yang diadakan selama dua hari di Pantai Air Tawar.

Ketua Pemuda Pas Kawasan, Ustaz Zulkifli Kadir berkata, anggota sayap parti itu datang dari seluruh daerah mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) dan cawangan masing-masing yang berkampung dan tidur di tepi pantai itu sejak hari pertama lagi.

Menurutnya, program yang dirasmikan Ketua Pemuda Pas Negeri, Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu diisi dengan pelbagai aktiviti bersesuaian.

“Aktiviti pada hari pertama adalah kuliah Maghrib dan selepas solat Isyak berjemaah, diadakan makan malam dan BBQ sebelum peserta bangun menyempurnakan Qiamullail, diikuti kuliah Subuh.

“Sambutan golongan muda di daerah ini amat memberangsangkan dan mereka datang secara sukarela tanpa dijanjikan apa-apa demi menjayakan program perdana ini,” katanya.

Zulkifli berkata, pada hari kedua, aktiviti diceriakan dengan perlawanan bola sepak pantai membabitkan 22 pasukan mewakili Pas Cawangan, sepak raga bulatan dan tarik tali.

Menurutnya, dalam setiap permainan, peserta diwajibkan menutup aurat manakala bagi perlawanan bola sepak pantai, peserta perlu memakai seluar panjang dan kain pelikat di bahagian luar.

“Selain itu, pertandingan mewarna kanak-kanak Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Besut juga diadakan dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan Yang Dipertua Pas Kawasan, Wan Azhar Wan Ahmad,” katanya.

Sementara itu, perlawa-nan bola sepak dimenangi pasukan Air Tawar A, tempat kedua, Gong Badang dan ketiga Air Tawar B. Pasukan Kampung Pusu Tinggi pula menjadi juara acara sepak raga bulatan dan pasukan DUN Jertih muncul johan tarik tali

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese