23 July 2009

PAS Besut fokus gerak kerja pilihan raya

BESUT, 23 Julai (Hrkh) - Peluang PAS Terengganu mengulangi kecemerlangan 1999 semakin terbuka luas sekarang ekoran krisis dalaman Umno yang tiada penghujung.

Mengambil kira momentum itu PAS Besut mempertingkatkan gerak kerja bagi menarik sokongan rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Dan esok PAS kawasan itu menganjurkan program jamuan makan bersama pemimpin tertinggi PAS Pusat yang akan diadakan di seluruh kawasan parlimen Besut.

Ketua Penerangan PAS Besut, Ustaz Wan Sukri Wan Isa berkata, empat Majlis Tindakan Dun (MTD) akan mengadakan jamuan makan bersama pemimpin tertinggi PAS yang hadir menemui masyarakat setempat.

Katanya, pimpinan PAS Pusat akan diketuai Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan turut disertai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

"Jamuan makan sambil menderma yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu diadakan bagi mengisi tabung pilihan raya empat MTD di kawasan Parlimen Besut," katanya di sini.

MTD terbabit iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut.

Menurutnya Ustazah Nuridah akan memulakan lawatan menemui penduduk setempat mulai jam 10 pagi, manakala Ustaz Nasharuddin mengadakan lawatan pada sebelah petang.

Kata beliau program itu bermula di MTD Kuala Besut mulai jam 10 pagi, diikuti Dun Kota Putera bertempat di Markas PAS Cawangan Gong Bayor kemudian Dun Hulu Besut bertempat di Markas Kampung Lubok Kawah.

Lawatan Timbalan Presiden pula bermula selepas solat Jumaat di Markas PAS Kampung Baru diikuti Dun Kota Putera, Dun Jertih dan Dun Besut.

Wan Sukri juga berkata, bagi menjayakan jamuan rakyat sebanyak lapan ekor lembu akan dikorbankan iaitu dua ekor bagi setiap Dun.

Pada sebelah malam kedua-dua pemimpin PAS terbabit akan menyampaikan ceramah di Pusat Tarbiyah Darul Ridwan Kampung Baru.

Manakala pada hari Sabtu pula Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramahnya di Belakang Masjid Bandar Jertih bersama ahli Majlis Tertinggi KeADIlan, Dr Badrul Amim Baharom. - Ramli Yamat

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese