05 July 2009

MB Kedah: DAP Kedah Masih Komponen Pakatan Rakyat



Menteri Besar Kedah, Dato Seri Azizan Abdul Razak hari ini menyatakan DAP Kedah masih lagi merupakan rakan komponen Pakatan Rakyat di Kedah sekalipun ADUN tunggal DAP, Lim Guan Aik telah mengumumkan menjadi ahli bebas.

"Saya yakin dia (Lim Guan Aik) tidak keluar walaupun diberi makluman di dalam media, pada saya, beliau masih lagi rakan saya, masih di dalam Pakatan Rakyat kecuali saya menerima surat rasmi dari PAS Pusat atau sekurang-kurangnya dari Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu saya tiada lagi DAP di dalam (kerajaan negeri) Kedah," tegas Dato Seri Azizan.

Beliau menyatakan demikian selepas pertemuan dengan Ketua de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini

Lee dilaporkan sebelum ini telah bertindak menjadi ahli bebas pada 3 Julai lalu selepas Majlis Bandaraya meruntuhkan bangunan penyembelihan khinzir di Alor Star pada 1 Julai. DAP telah menarik diri dari Pakatan Rakyat sebaik sahaja usaha mereka untuk menahan bangunan tersebut dari dirobohkan oleh MBAS gagal.

Dato Seri Anwar menganggap masalah perobohan bangunan pusat penyembelihan khinzir di Kedah sebagai selesai dan menyatakan bahawa pihak kerajaan negeri Kedah telah bertindak dengan mengikut peraturan sewaktu merobohkan bangunan berkenaan.

Di dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Pejabat Daerah Pendang menolak cadangan pembinaan tapak penyembelihan babi di Kampung Cina di sini kerana didapati tidak sesuai dan mendapat bantahan penduduk.

Pegawai Daerah Pendang, Abdul Shukor Abdul Ghani berkata keputusan itu dibuat selepas kajian dilakukan oleh jabatan terlibat yang melawat kampung itu baru-baru ini.

"Hasilnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebulat suara mendapati lokasi itu tidak sesuai kerana dekat rumah penduduk dan akan mencemarkan kawasan berkenaan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima meorandum bantahan daripada Pengerusi Belia 4B daerah Pendang Ramli Abu Bakar, Abdul Shukor berkata pembinaan tapak penyembelihan dalam jarak 100 meter dari rumah penduduk juga tidak memenuhi syarat zon penampan sepanjang 500 meter yang disyaratkan JAS.

Selain itu, pemilik tanah yang bersetuju menyewakan tanah mereka bagi pembinaan premis juga telah pun menarik balik persetujuan itu kerana mengambil kira kepentingan penduduk.

Sebelum itu, lebih 100 penduduk Kampung China berarak dari Bangunan Umno Pendang menuju Pejabat Daerah Pendang bagi membantah pembinaan tapak penyembelihan babi di kampung mereka.

Seorang penduduk, Edin Chok Edin Proot, 52, berkata bantahan dibuat disebabkan tapak penyembelihan itu terletak berdekatan dengan Watt Siam tempat penduduk kaum Siam beribadat.

Katanya sekiranya tempat penyembelihan babi dibina di kampung mereka, lebih 800 penduduk akan berhadapan kesan pencemaran yang teruk dan menjejaskan kehidupan mereka.

"Kami menolak cadangan pembinaan di kawasan ini dan berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula serta mencari kawasan lain," katanya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese