BESUT, 3 Julai (Hrkh) - Lebih 200 pemuda dari seluruh daerah Besut dijangka berkhemah di Pantai Air Tawar, dekat sini hujung minggu ini bagi menjayakan Himpunan Pemuda Islam Besut (Himp-BEST) 2009.
Perkhemahan yang akan bermula petang Jumaat (3 Julai) dan dijadualkan berakhir petang Sabtu (4 Julai) itu adalah program besar pertama dianjurkan Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (DPPKB) selepas mesyuarat agung tahunannya, April lalu.
Menurut Ketua DPPKB, Ustaz Zulkifli Abdul Kadir, perkhemahan itu akan dimulakan dengan kuliah maghrib oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong itu juga akan merasmikan himpunan itu.
"Sessi itu kita buka kepada masyarakat umum, diikuti dengan jamuan ikan bakar. Awal paginya kita akan buat qiyamullail, diikuti kuliah Subuh pada paginya," jelas Zulkifli.
Pada pagi Sabtu juga, para peserta akan dilibatkan dengan pertandingan beberapa acara sukan seperti tarik tali, bolasepak pantai, sepak raga dan sebagainya.
Serentak itu, acara pertandingan melukis dan mewarna untuk lebih 200 pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dari qaryah-qaryah seluruh Kawasan Besut turut dijadualkan.
"Sebagai acara penutup Himp-BEST 2009, kita akan adakan ceramah umum, juga di Air Tawar. Kita sudah dapat komitmen dari Khalil Idham Lim dari Perak dan juga Timbalan Ketua (Dewan) Pemuda (PAS) Pusat, Ustaz Azman Shapawi (Abdul Rani)," terang Zulkifli lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap para pencinta dan pendokong perjuangan Islam di kawasan sekitaran akan turut hadir memeriahkan program yang telah diatur itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua PAS Cawangan Air Tawar, Anuwa Jamalullail Awang, menyambut baik pemilihan cawangannya sebagai tuan rumah kepada program besar itu.
Beliau yang juga bekas Ketua DPPKB bagi sesi 1993/94 lalu turut merasa bertuah kerana program perkhemahan yang pernah dianjurkannya dulu kini dihidupkan kembali.
"Ini (Himp-BEST 2009) bagaikan satu 'deja vu' bagi saya secara peribadi. Seingat saya kali terakhir diadakan perkhemahan Pemuda PAS di Besut ini ialah lebih 15 tahun lalu, ketika saya jadi ketuanya (DPPKB)," ujarnya.
Lebih bermakna lagi, kata Anuwa, program itu kini diadakan di cawangan diketuainya sendiri._
No comments:
Post a Comment