04 June 2009

Salahuddin - Mantapkan PAS dalam Pakatan Rakyat

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menggesa ahli dan kepimpinan Pemuda PAS agar melihat perkembangan pesaing utama di kalangan pemuda Pakatan Rakyat (DAPSY dan AMK) untuk memantapkan Pemuda PAS.

“Selain berhadapan dengan Pemuda Umno yang menjadi pesaing utama kepada Dewan Pemuda PAS, kita juga turut bertemankan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menjadi komplimenter dalam memperkasakan Pakatan Rakyat.

“Saya teruja melihat pemimpin-pemimpin muda yang muncul dan memimpin AMK dan DAPSY pada masa ini. Mereka adalah generasi baru yang mewakili aspirasi baru Malaysia yang menolak gagasan sempit yang berasaskan kaum atau sentimen-sentimen sempit yang lain.

“Mereka sekarang sedang bercakap soal ketelusan pentadbiran, keadilan undang-undang, keadilan sosial, kecekapan kerajaan dan kestabilan ekonomi yang menjadi isu pokok ke arah Malaysia sebuah negara maju dan berkebajikan,” kata Salahuddin dalam ucaptama sempena Muktamar Pemuda PAS ke-50 di Markas Taman Melewar hari ini.

Ujar beliau lagi, isu-isu yang bersifat perkauman, keagamaan yang sempit, sentimen kedaerahan dan seumpamanya sudah tidak relevan kepada generasi baru Malaysia. Inilah persoalan yang membuatkan parti-parti perkauman dalam BN kini kehilangan dukungan rakyat, khususnya golongan muda.

Bagi Dewan Pemuda PAS, perkembangan ini perlu dilihat secara positif, dan pemuda sendiri mesti berperanan secara positif juga supaya PAS terus diterima di pentas politik negara, katanya.

Beliau percaya AMK dan DAPSY telah mempunyai rancangan-rancangan kerja jangka panjang masing-masing bagi menangani perubahan ini, maka generasi baru Pemuda PAS juga perlu membuat kajian dan perancangan yang lebih strategik dalam memperkukuh Pakatan Rakyat, katanya.

“Kita bukanlah “sleeping partner” kepada Pakatan Rakyat atau sekadar pelengkap sahaja, tetapi Pemuda PAS mahu PAS menjadi tulang belakang kepada kebangkitan Pakatan Rakyat dalam menamatkan kezaliman, penindasan dan penyelewengan BN,” katanya.

Pemuda PAS adalah tenaga utama dalam meningkatkan peranan PAS ini termasuk dalam kerajaan dan dalam pakatan untuk mengembleng rakyat semuanya yang perlu diberikan suntikan perangsang yang baru, katanya.


“Saya bukan bermaksud supaya PAS menguasai Pakatan Rakyat dan parti lain menjadi pengikut kita, kerana saya sedar semua parti adalah komplimenter antara satu sama lain. Tetapi saya mahukan dalam apa aspek pun peranan dan sumbangan gerak kerja PAS dalam memperkasakan Pakatan Rakyat dipertingkatkan,” ujarnya.

Tujuan utama memberikan penekanan terhadap proses mempertingkatkan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat ialah kerana mahu Pakatan Rakyat diperkukuhkan, ujarnya.

Pakatan Rakyat telah mendapat kepercayaan sebahagian besar rakyat di semenanjung ini dan BN kini hanya bertahan dengan sokongan pengundi dari Sabah dan Sarawak sahaja, katanya.

“Kita telah diberi peluang oleh rakyat untuk membuktikan apa yang kita war-warkan apabila lima buah negeri serta Wilayah Persekutuan telah berada di tangan kita dapat dimanifestasikan.

“Keyakinan rakyat ini mesti diterjemahkan kepada dasar-dasar kerajaan yang telus, bersih dan berkebajikan supaya kemenangan kita dapat dipertahankan. Memperkukuhkan Pakatan Rakyat adalah tanggungjawab kita bersama dan tidak timbul langsung soal kita ingin memisahkan diri daripada pakatan ini,” tegasnya.

Salahuddin juga menyeru kepemimpinan tertinggi parti supaya dapat mengkaji secara mendalam peranan dan kedudukan PAS setelah setahun Pakatan Rakyat dibentuk, supaya dapat menilai dan memuhasabah pencapaian ke arah pembaikan.

Ahli-ahli juga PAS perlu memahami bahawa penglibatan PAS dalam Pakatan Rakyat bukanlah suatu yang tidak syar�ie atau dibuat semata-mata untuk kepentingan politik semasa sahaja.

Kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat adalah berteraskan prinsip yang berbeza dengan kerjasama BN, katanya.

PAS akan tetap berpegang teguh dan istiqamah dengan dasar perjuangannya tanpa menggadai prinsip.

Ujarnya inilah yang membezakan PAS dalam Pakatan Rakyat dengan Umno dalam BN kerana ujarnya Umno bergabung dengan BN tetapi tidak menguntungkan Islam dan orang Melayu.

2 comments:

Unknown said...

Selagi tak berjinak dgn UMNO/bn..InsyaAllah tak de masalah dalam pakatan RAkyat

Anonymous said...

Kita kena berjinak semua,tak aci dok dakwah DAP saja.UMNO juga perlu di dakwah jugak.Selepas kita dakwah UMNO pastu boleh nikah dengan UMNO.....

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese