28 June 2009

Presiden PAS: Calon PAS boleh bekerja untuk rakyat





Presiden PAS, Dato’ seri Abdul Hadi Awang yakin rakyat Kelantan lebih pintar dalam membuat keputusan pilihan raya sebagaimana dibuktikan pada pilihan raya sebelum ini.

Lebih-lebih lagi katanya calon yang ditampilkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai, Haji Mohd Fauzi Abdullah seorang yang dikenali ramai di Manek Urai dan berkeyakinan boleh bekerja untuk rakyat.

“Saya berkeyakinan beliau boleh bekerja untuk rakyat Manek Urai bagi meneruskan usaha yang dilakukan Allahyarham Paksu Wil,” katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang melahirkan rasa malu apabila Terengganu kaya dengan hasil minyak membuat stadium yang tidak mampu bertahan lama sehingga boleh runtuh dalam masa setahun.

Menurutnya sebagai rakyat Terengganu beliau merasakan malu dengan apa yang berlaku ke atas Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau juga berkata, Umno telah merompak royalti minyak ketika negeri itu diperintah PAS pada 1999 sehingga menafikan hak sebagaimana termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

Sedangkan kata beliau setiap menteri-menteri besar telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan Persekutuan di mana apabila terdapat pertemuan minyak dan gas di perairan setiap negeri, mereka akan dibayar royalti sebanyak lima peratus.

Beliau juga memberitahu pernah melihat pelantar minyak di perairan Kelantan ketika melalui kawasan berkenaan sebelum ini.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin