05 May 2009
Manoharan: 'Amat berdosa' towards voters
UMNO BN Masih Zalim, Manoharan Terus Ditahan - Edisi 7
Beberapa ahli politik yang pernah di tahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri percaya ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan sedang ditekan oleh polis untuk melepaskan jawatan itu dan berundur dari kancah politik.
Justeru Pakatan Rakyat Selangor hari ini melancarkan kempen mendesak kerajaan Barisan Nasional membebaskan Manoharan dan semua tahanan ISA.
Kempen selama 2 minggu itu akan diadakan di seluruh negeri Selangor, khususnya di DUN Kota Alam Shah, dengan mengutip tanda tangan pengundi untuk mendesak BN memansuhkan I-S-A dan membebaskan semua tahanan.
ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib berkata, Manoharan disogok oleh polis dengan ungkapan seperti “saya rasa amat berdosa” bagi melemahkan semangat juangnya.
Menurut Shaari, beliau sendiri dipujuk dan ditekan menggunakan ungkapan seperti itu oleh polis untuk melemahkan semangatnya, disamping menyakinkan orang ramai bahawa beliau kesal dengan sesuatu tindakannya.
Shaari, seorang aktivis hak asasi manusia, ditahan di Kem Kamunting Taiping selama setahun dan banyak kali terpaksa menghadiri sessi soal siasat dengan polis.
Beliau percaya Manoharan menimbang untuk melepaskan jawatan bukan atas kerelaannya tetapi kerana ditekan oleh polis dalam cubaan melemahkan semangat beliau serta pengundi dan penyokong Pakatan Rakyat.
Manoharan adalah seorang daripada lima pemimpin Hindraf yang di tahan di bawah ISA pada lewat 2007 selepas badan itu mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran membantah dasar-dasar diskriminasi terhadap kaum India.
Meskipun dalam tahanan, Manoharan bertanding atas tiket DAP dan memenangi kerusi Kota Alam Shah, menewaskan calon BN dari Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.
Minggu lalu, beliau memberitahu isterinya S.Pushpaneela bahawa beliau rasa amat berdosa terhadap pengundi DUN Alam Shah kerana tidak dapat mewakili mereka secara berkesan.
Keputusan muktamad mengenai kedudukan Manoharan sebagai ADUN Kota Alam Shah akan dibuat selepas tahanan ini menemui Pengerusi DAP Karpal Singh pada 19 Mei ini.
Shaari memberi semangat kepada isteri Manoharan, Puan Pushpaneela untuk terus berjuang membebaskan suaminya bersama 26 tahanan lain.
“Ayat yang berbunyi ‘saya berasa amat berdosa’ itu adalah sogokan-sogokan daripada SB dan jangan kita hiraukan dan nasihat kita pada Puan Pushpa dan rakan-rakan, kita perlu teruskan perjuangan dan jadikan Puan Pushpa sebagai ikon dalam kempen bebaskan Manoharan ini,” tegas beliau.
Seorang lagi bekas tahanan ISA, Dr Mohd Nasir Hashim berkata, kata-kata sogokan itu merupakan tekanan ke atas tahanan supaya mengaku bersalah dan mengundurkan diri daripada perjuangan parti.
“Isunya kita diberi sogokan supaya kita merasa serba salah pada semua orang. Itu yang dilakukan di segi tekanan dan kita berharap YB Manohanan dapat mengatasinya. Ini adalah perjuangan menentang kezaliman,” kata ADUN Kota Damansara itu.
Pada sidang media sempena pelancaran kempen itu di Shah Alam, Setiausaha DAP Teresa Kok berkata, Manoharan tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Penahanan beliau dibawah ISA kelihatan hanya kerana beliau menjadi penguambela kepada pemimpin Hindraf yang didakwa di mahkamah.
“Kemenangan Manohanan sebagai ADUN Kota Alam Shah dalam pilihanraya pada Mac 2008, menunjukkan orang ramai simpati ke atas penahanannya di bawah ISA dan dengan kata lain ia adalah bantahan terhadap ISA,” katanya.
Isteri Manoharan, S Pushpaneela memberi komitment penuh untuk membantu Pakatan Rakyat dalam menjayakan kempen untuk memansuhkan ISA.
Sepanjang kempen dua minggu berkenaan, kerajaan negeri Selangor akan mempamerkan kain rentang berbunyi “Bebaskan Manoharan dan semua tahanan ISA” di semua daerah di Selangor. Ceramah-ceramah anti_ISA juga akan diadakan sepanjang tempoh itu.
Selain menurunkan tanda tangan bantahan terhadap ISA, orang ramai juga boleh mengemukakan bantahan dan petisyen secara maya melalui laman web www.petitiononline.com/freemano
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment