15 May 2009

Kes Tayangan CD Sidang DUN: Polis Bertindak Melampaui Bidang Kuasa

Salah seorang daripada dua yang ditahan polis berhubung penayangan CD kekecohan Dewan Undangan Negeri Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung pagi tadi untuk di dakwa.

Prem Sumarthry di bawa ke mahkamah pada pukul 9.00 pagi tetapi dakwaan terhadap beliau tidak dapat diteruskan setelah pihak polis gagal hadir di mahkamah.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang bertindak sebagai peguam Prem berkata perbuatan polis tersebut amat dikesali dam mencerminkan ketidakcekapan polis menjalankan tugas.

"Pihak polis minta tertuduh datang ke mahkamah dan kalau tidak mereka akan keluarkan waran tangkap tetapi mereka sendiri gagal hadir ke mahkamah. Ini menunjukkan mereka seolah-olah mempermainkan hak tertuduh untuk mendapatkan keadilan," Ngeh berkata

Prem bersama seorang lagi berbangsa Cina ditangkap 10 Mei lalu kerana dipercayai menjadi pemilik kepada sistem pembesar suara semasa penayangan CD peristiwa sidang DUN 7 Mei lalu pada majlis makan malam anjuran DAP di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nam Hwa di Kampung Koh, Setiawan.

Kedua-dua mereka kemudiannya di bawa ke Balai Polis Setiawan.

Ngeh dalam laporan polisnya bertarikh 9 Mei berkata syarat Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman yang melarang majlis makan tersebut membuat sebarang tayangan berkaitan insiden kekecohan sidang DUN 7 Mei adalah tidak munasabah malah bertentangan dengan hak kebebasan rakyat yang dijamin dalam perlembagaan.

"Polis sebenarnya telah melanggar undang-undang apabila mereka menyerbu dan merampas alat-alat audio visual kerana tidak ada dalam mana-mana undang yang menyatakan kita tidak boleh menayangkan video mengenai sidang DUN Perak.

"Polis sepatutnya menyoalsiasat saya atau DAP Lumut kerana kitalah pihak yang menganjurkan majlis tersebut bukannya pemuda India tersebut kerana beliau hanya pengendali alat tayang pada majlis iu sahaja," jelas Ngeh yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak.

Dalam laporan beliau Ngeh juga berkata berpuluh-puluh anggota polis yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Shaharuddin Abdullah telah menyerbu masuk ke dalam dewan majlis makan yang mengarahkan supaya majlis bersurai.

Beliau menegaskan dalam laporannya perbuatan polis menceroboh dan membuat kekecohan pada majlis jamuan makan itu merupakan satu kesalahan dan salahguna kuasa pihak polis.

Polis turut merampas 3 projektor LCD, 1 pemain cakera DVD dan 2 skrin bersama kaki skrin selepas baru 3 minit tayangan berlangsung.Ngeh berkata beliau mahu ACP Mohd Jamil dan DSP Shaharuddin di dakwa kerana melanggar undang-undang dan bertindak di luar bidang kuasa mereka. TVA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese