18 April 2009
Tuan Guru Hadi Awang: Krisis politik UMNO Terengganu kerana tamak & haloba.
Marang - Kecelaruan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dianggap oleh Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lebih bersifat perlumbaan untuk merebut kepentingan.
Beliau yang tidak mahu terlalu banyak mencampuri urusan UMNO/BN Terengganu berkata pada pengamatannya dari luar, kegawatan berlaku selepas mendapat berita yang diwar-warkan, wang royalti akan dipulang balik.
“Saya tidak mahu campurtangan banyak, (pada) pengamatan saya dari luar itu lebih bersifat perlumbaan untuk merebut kepentingan, selepas mendapat berita yang diwar-warkan, royalti akan dipulang balik,”katanya ketika sesi temubual dengan media di rumahnya, dekat sini, pagi tadi.
Menurutnya, sudah tentu banyak projek-projek yang akan mencurah ke Terengganu melalui wang royalti yang akan dipulang-balik itu.
Katanya pihak yang menimbulkan kekalutan mungkin merasakan, mereka tidak berpeluang mendapat lebih banyak melalui projek-projek ini.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, kecelaruan politik yang berlaku adalah suatu gejala yang tidak baik bagi negeri Terengganu.
“Ia suatu gejala yang tidak baik bagi negeri Terengganu, satu perbuatan haloba dan tamakkan kuasa, cukup (lah) dengan (apa yang) berlaku projek-projek haloba dari tahun 1978 hingga 1998,
“bila kita (PAS) cuba hendak buat pembetulan (tahun 2004 – 2008), kita (PAS) telah dicantas melalui politik yang kotor, daftar pemilih yang terlalu besar jumlah sehingga tidak padan dengan penduduk di negeri Terengganu,”jelasnya.
Menurutnya, PAS sabar menghadapi karenah permainan politik kotor itu dan tidak bertindak liar, bahkan, katanya, beliau pernah menyebut di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS pernah bersabar selama 40 tahun.
“Dari pilihan raya tahun 1959, kita menang dan kita jatuh. Kita tunggu hingga pilihan raya 1999 (40 tahun), kita boleh sabar, kerajaan kita (PAS) jatuh ditengah jalan dalam tahun 60-an. Kita sabar dan kita menunggu sehingga kita (PAS) menang tahun 1999,”katanya.
Pada 14 April lalu 10 ADUN UMNO/BN yang diketuai oleh bekas Setiausaha Perhubungan UMNO, Dato’ Rosol Wahid telah memboikot sidang DUN.
Rosol berkata ‘boikot’ tersebut adalah klimaks kepada krisis keyakinan terhadap Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan beliau serta 10 rakannya mendesak Ahmad supaya berundur dan meletakkan jawatan.
Kumpulan Rosol juga menuduh seorang pegawai tinggi kerajaan Terengganu menghantar SMS ugutan bunuh terhadap beliau dan dua ADUN lain, berkait rapat dengan usaha membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad ke dalam sidang DUN Terengganu. buletinonline
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment