KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Mei ini untuk mendengar permohonan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar dan enam yang lain bagi mendapatkan kebenaran agar satu semakan undang-undang dijalankan berhubung permintaan mereka supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.
Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu selepas perkara itu dikemukakan kepadanya di kamar hari ini.
Pihak yang hadir dalam prosiding hari ini terdiri lima peguam mewakili pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi mewakili responden.
Sivakumar bersama anggota-anggota Dewan Undangan Negeri Perak, Chen Fook Chye (DAP-Keranji), Tai Sing Ng (PKR-Kuala Sepetang) dan A. Sivanesan (DAP-Sungkai) serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang), membuat permohonan semakan perundangan itu terhadap ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu, dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong.
Mereka memohon perintah mahkamah bahawa kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang adalah kosong setelah ketiga-tiga wakil rakyat itu keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas. Mereka juga memohon perintah injunksi melarang Jamaluddin, Osman dan Hee daripada melakasanakan tugas sebagai wakil rakyat.
Dalam pilihan raya umum lepas, Jamaluddin dan Osman menang sebagai calon PKR manakala Hee menang atas tiket DAP.
Bulan lepas, mereka keluar parti masing-masing bagi menyokong Barisan Nasional, dan ini menyebabkan kerajaan pakatan DAP, PAS dan PKR, yang memerintah Perak, tumbang.
Pada 3 Feb, Sivakumar memberitahu SPR bahawa ketiga-tiga kerusi itu kosong dengan alasan kononnya Jamaluddin, Osman dan Hee telah meletak jawatan. Bagaimanapun SPR meragui tentang peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment