KOTA BAHARU - Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyambut baik cadangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berhubung pembentukan kerajaan campuran di negara ini dan menganggap cadangan itu dibuat pada masa yang tepat.
Timbalan Ketuanya Nasrudin Hassan berkata kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang memang sepatutnya duduk semeja menyelesaikan isu ekonomi dan konflik politik yang melanda negara kini.
"Kerajaan campuran ini bukan bermaksud PAS atau pembangkang masuk BN, atau sebaliknya, tetapi pembangkang turut diberi ruang dalam pentadbiran bersama-sama menyelesaikan isu ekonomi dan konflik politik dalam negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Nasrudin berkata cadangan Abdul Hadi itu juga mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang turut bersama-sama berada dalam pakatan pembangkang.
"Setakat ini tidak ada sebarang kenyataan bertentangan, kecuali ada satu dua individu yang memberi perhatian berbeza daripada cadangan presiden (PAS). Tapi itu biasalah, ia masih di peringkat idea untuk sempurnakan gagasan itu," katanya.
Baru-baru ini Abdul Hadi mencadangkan supaya BN dan pakatan pembangkang membentuk sebuah kerajaan campuran. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment