08 March 2009
One year after March 8 elections
8 Mac - Setelah Setahun Berlalu. Quo Vadis BN?
8 Mac 2008 - Itulah tarikhnya. Tarikh dimana Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan satu gelombang tsunami politik melanda negara apabila Barisan Alternatif (yang kmudiannya dinamakan Pakatan Rakyat) menang 82 kerusi Parlimen dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23).
BN yang merangkumi 14 parti komponen mendapat 140 kerusi tetapi sebahagian besar kerusi dimenangi BN adalah di Sarawak (30), Sabah (24) dan Johor (25) iaitu sebanyak 79 kerusi atau 56.4 peratus dan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dikuasai pembangkang. Di lima negeri itu, calon BN sama ada daripada Umno, MCA, MIC atau Gerakan, kalah teruk. Yang paling mengejutkan ialah kejatuhan Perak dan Selangor kepada Pakatan Rakyat, manakala Pulau Pinang dan Kelantan tidak begitu mengejutkan kerana ada pihak meramalkan bahawa ini akan berlaku.
Negeri yang masih dikuasai BN seperti Johor, Negeri Sembilan dan Pahang juga menunjukkan pengaruh sokongan kepada BN semakin menurun. Pas pula mula menapak di Johor dan Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, jumlah undi diperoleh Pas meningkat di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Pencapaian BN dalam pilihan raya kali ini adalah yang terburuk pernah dicapai iaitu 140 kerusi atau 63.1 peratus daripada 222 semua kerusi Parlimen. Pencapaian itu lebih teruk berbanding pilihan raya 1969 (66 peratus), 1990 (70.5 peratus) dan juga 1999 (76.68 peratus).
Kegagalan sebahagian besar parti komponen Barisan Nasional (BN) mengambil perhatian terhadap kuasa rakyat ini menjadi punca kekalahan paling teruk bagi gabungan itu sejak negara mencapai kemerdekaan. Kuasa rakyat tidak mengenal falsafah politik, parti, agama, bangsa atau kaum, sebaliknya isu berkepentingan bersama seperti kezaliman polis, sistem kehakiman yang berat sebelah, rasuah di kalangan pemimpin BN, konspirasi SPR, dasar pemberitaan dan kewartawanan longkang media massa arus perdana telah menyatukan serta memberi kekuatan kepada Pakatan Rakyat.
Barisan Nasional itu adalah tidak lebih dari satu bangku berkaki tiga. UMNO yang kini berkeceramuk dan bercelaru selama ini didokong oleh tiga parti utama MCA, MIC dan Gerakan.
Kini ketiga-tiga kaki utama bangku itu telah patah.
Yang paling teruk ialah Gerakan. Gerakan hanya menang dua daripada 12 kerusi Parlimen dan lima daripada 31 kerusi DUN, tetapi kekalahan paling perit yang sukar diterima ialah kehilangan Pulau Pinang yang selama ini adalah pangkalan aktiviti politik parti itu. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon,yang menjadi Ketua Menteri sebelumnya, tersungkur di tangan bekas pensyarah dari DAP, Prof Dr P Ramasamy di kerusi Parlimen Batu Kawan.
Penganalisis politik meramalkan Gerakan akan terus perlahan-lahan padam dari pentas politik negara.
Nasib MIC boleh dikatakan lebih mengaibkan kerana hanya mampu mengekalkan tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding kemenangan 100 peratus pada Pilihan Raya Umum 2004.
Samy Vellu menerima penghinaan apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974, manakala timbalannya dalam MIC, Datuk G Palanivel kecundang di Parlimen Hulu Selangor selepas tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ.
Naib Presiden, Datuk S Sothinathan (Parlimen Teluk Kemang), Ketua Pemuda MIC, SA Vigneswaran (Parlimen Kota Raja) dan Ketua Wanita MIC, Datin Paduka P Komala Devi (Parlimen Kapar) turut gagal mempertahankan kerusi yang disandang.
Seorang lagi Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, yang berpindah dari Parlimen Tapah ke Dewan DUN Sungkai, tewas kepada A Sivanesan (DAP).
Laungan 'Makkal Sakthi' (kuasa rakyat) yang sedikit sebanyak menjadi punca kekalahan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput, sekali gus menamatkan riwayat politik selama 34 tahun, sudah tentu menjadi igauan ngeri beliau sepanjang hayat. Dan sikap kerajaan yang menahan anggota Hindraf di bawah ISA dilihat penyumbang terbesar kepada faktor peralihana sokongan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat.
MCA sebagai parti komponen BN kedua terbesar menderita kekalahan terburuk sejak 1969 apabila hanya memperoleh 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi di seluruh negara dan kalah banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, dalam ulasannya selepas kekalahan parti itu sendiri tidak menjangka keputusan pilihan raya umum menjadi begitu. Dengan kesederhanaan dan kejayaan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng dan perubahan gaya perjuangan yang ditunjukkan oleh DAP yang sedia menerima PAS sebagai rakan seperjuangan mereka diimbangi dengan kesederhanaan calon PKR ditokok pula dengan perpecahan kepimpinan yang melanda MCA kini, rasanya masa depan parti bagi masyarakat kaum Cina sudah beralih kepada DAP dan PKR.
Apa lagi yang tinggal apabila ketiga-tiga kaki bangku ini telah patah? UMNO kini hanya menumpang nyawa dari parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak. Tanpa mereka UMNO sudah terjelepok jatuh ke lantai.
Malah dunia pun tahu bahawa UMNO itu sendiri sudah disalak dan diherdik secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan Gerakan.
Dan UMNO membuat kesilapan yang terbesar kini iaitu melakukan rampasan kuasa di Perak. Ia telah memberikan impak negatif walaupun pelbagai kewajaran dilakukan untuk "menghalalkan" rampasan itu. Ia persis menempah kerandanya sendiri apabila bertindak seperti orang yang mabuk dan tamak kuasa.
Ramai penganalis politik berpendapat dengan segala macam penyelewengan dan perkosaan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN terhadap institusi-institusi terutamanya SPR, Polis, Badan Kehakiman yang dikuasai oleh Peguam Negara dan SPRM dengan lembu-lembunya akan lebih mempercepatkan UMNO ditalqinkan.
Disaat dunia sedang membicarakan proses globalisasi - dunia tanpa sempadan ditambah pula slogan "perubahan" yang mendominasikan arus politik dunia kini akan hanya menghantarkan media arus perdana yang masih cuba mempertahankan satus quo ke lembah kegagalan dan kemusnahan.
Mengulangi kata-kata TG Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan sebelum ini : "Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti.
Greenboc
"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment