28 March 2009

Khir Toyo Salahkan Pihak Lain Bila Tewas



Tewas: Khir Toyo Salahkan Siasatan Pakatan.

Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyalahkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor atas kegagalan beliau merebut jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Bercakap pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khir mendakwa siasatan awam kerajaan negeri terhadap isu Balkis telah mempengaruhi pengundian perwakilan.

Mantan Menteri Besar Selangor bertegas kononnya beliau tidak bersalah kerana siasatan polis mendapati beliau dan Balkis tidak melakukan sebarang kesalahan.

Bagaimanapun, siasatan awam kerajaan negeri yang bermula minggu ini mengesahkan beberapa anak syarikat kerajaan negeri, khususnya Permodalan Negeri Selangor Berhad yang di pengerusikan oleh Khir Toyo bertindak sebagai “juruwang” Balkis yang dipimpin pula oleh isteri beliau.

PNSB memperuntukan sehingga sejuta ringgit setiap tahun untuk membiayai rombongan Balkis melancong ke luar negara, termasuk Disneyland, menganjurkan majlis makan dan membeli cendera hati mahal untuk orang kenamaan.

Siasatan kerajaan negeri mendapati Balkis dibubarkan beberapa hari selepas pilihanraya umum Mac tahun lalu apabila kerajaan pimpinan Khir Toyo tumbang kepada Pakatan Rakyat.

Isteri Khir Toyo, Datin Seri Zaharah Kechik, mengadakan mesyuarat tergempar pada 11 Mac tahun lalu untuk membubarkan badan itu dan menutup akaunnya sehari kemudiannya.

Akaun itu mempunyai hampir RM10 juta.

Siasatan awam itu dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim.

Khir Toyo yang kini bertindak sebagai Ketua Pembangkang Selangor dan isterinya enggan tampil memberi penjelasan kepada Selcat selepas beberapa pegawai kanan memberi keterangan mengenai dana awam yang disalurkan kepada Balkis.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese