Di hadapan rumah MB Mohad Nizar kelihatan petugas Unit Amal Malaysia mengawal pintu masuk
IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam menegaskan, beliau akan terus tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Tambun di sini, dirinya "masih" menjawat jawatan ketua eksekutif kerajaan negeri itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, tiada sebab mengapa beliau perlu berpindah keluar kerana sehingga semalam, tiada langsung dokumen rasmi menyatakannya bukan lagi Menteri Besar yang sah apatah lagi beliau sendiri masih belum meletakkan jawatannya.
"Saya akan keluar sekiranya saya keluarkan surat peletakan jawatan atau hilang majoriti dalam satu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang disaksikan oleh orang ramai," kata beliau pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini lewat petang semalam.
Dalam pada itu, Nizar mendakwa keengganan beliau untuk akur kepada titah Sultan Perak adalah kerana ingin mengembalikan martabat institusi diraja supaya dihormati rakyat.
Katanya, ini kerana beliau tidak mahu rakyat melihat Sultan Perak menyebelahi mana-mana parti politik dalam menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar dan kerajaan negeri.
"Saya sebenarnya sedaya upaya cuba membela institusi Diraja. Saya tidak letak jawatan dan mohon dibubarkan DUN semata-mata kerana menghormati institusi diraja," katanya.
Mengulas tindakan saman terhadap Sultan Perak yang bakal dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa depan, Muhammad Nizar menafikan se keras-kerasnya beliau terlibat sama dalam perkara itu.
Katanya, tidak pernah terniat langsung di hatinya untuk menyaman Sultan Perak sebaliknya mendakwa apa yang di laporkan itu adalah satu fitnah.
"Saya hendak nyatakan saya menafikan sekeras-kerasnya niat untuk menyaman Tuanku. Ini satu pembohongan besar, satu fitnah.
"Di dunia akhirat saya akan tuntut kerana tidak ada langsung dalam hati saya terniat untuk menyaman atau ambil tindakan terhadap Tuanku," katanya.
Di Kuala Lumpur, Karpal berkata akan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa ini kerana mendakwa baginda bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini sebagai tidak sah.
Karpal berkata, dalam saman tersebut, Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri BN di negeri ini sebagai defendan kedua.
Sebaliknya ujar Nizar, beliau sebenarnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang didakwa sebagai Menteri Besar tidak sah.
Katanya, saman tersebut akan difailkan melalui peguam Raja Aziz Addruse di Mahkamah Tinggi Ipoh seawal-awalnya petang ini atau selewat-lewatnya Selasa ini. - mStar
No comments:
Post a Comment