26 February 2009

Najib: Mereka akan terima padahnya - Malaysiakini



TVAntara : Najib Dakwa Adun PR Buat Aduan Palsu
Malaysiakini: Najib denies inducing Pakatan reps with cash

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengugut mereka yang membuat laporan palsu kepada SPRM akan didakwa.

"Siapa yang membuat laporan palsu, dia akan didakwa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Menteri Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) Mengenai Jaminan Makanan di ibunegara pagi ini.

Katanya, tindakan serupa juga akan diambil terhadap mereka yang menyalah guna akuan berkanun.

"Mereka akan terima padahnya," katanya.

Sebelumnya, Najib berkata terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak yang mendakwa mereka ditawarkan imbuhan oleh ejen yang mendakwa mewakili timbalan perdana menteri itu supaya menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN).

Dua Adun Pakatan itu membuat laporan kepada SPRM, mendakwa mereka ditawar sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai BN.

Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh ialah Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keshvinder memberitahu pemberita bahawa beliau menerima pelbagai tawaran dari beberapa ejen mendakwa mewakili timbalan perdana menteri yang juga pengerusi perhubungan Umno Perak, dengan seorang daripada ejen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan.

"Saya tidak tahu apa-apa pun mengenai perkara itu. Biar SPRM siasat," kata Najib.

Ditanya mengenai namanya yang turut disebut dalam laporan berkenaan, Najib berkata: "Tak ada, saya tak ada tawar-menawar sesiapapun."
Manakala mengenai dakwaan kedua-dua ADUN itu kononnya mereka mempunyai bukti kukuh, beliau berkata: "Sudah tentunya mereka kata begitu tapi biarlah Suruhanjaya siasat. Seperti yang saya kata, jika mereka buat laporan palsu, mereka akan hadapi kesannya."

Ditanya apakah Umno mempunyai begitu banyak wang sehingga boleh menawarkan sehingga RM50 juta kepada Adun-adun Pakatan, Najib berkata:

"Mana ada RM50 juta...mengarut ni. Kita tak ada wang, dia dakwa sahaja, itu yang dia dakwa. Biar SPRM siasat," katanya.

Sebelum ini, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda, dalam akuan bersumpahnya, mendakwa kononnya Najib menawarkan RM50 juta kepada mana-mana Adun daripada Pakatan Rakyat di Perak supaya menyertai BN.

Fauzi dilaporkan mendakwa, Najib yang juga timbalan presiden Umno telah mencuba tahun lalu untuk memujuknya supaya melobi dua Adun Pakatan di Perak supaya melompat parti.

Fauzi mendakwa, beliau telah ditawar sejumlah RM50 juta bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk melompat parti.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak membuat apa-apa tindakan untuk memenuhi hasrat Najib itu.

Untuk tujuan rekod, setakat ini Najib belum membuat penafian terhadap dakwaan itu kecuali kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanannya ialah Datuk Zainal Abidin Zin yang tidak menafikan adanya pertemuan tersebut tetapi beliau tidak tahu menahu butiran mengenai tawaran RM50 juta itu. - greenboc

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese