23 November 2008

Guan Eng tetap pasang papan tanda - Malaysiakini

Guan Eng: Kerajaan Pulau Pinang tetap pasang papan tanda walaupun disabotaj

PULAU PINANG: Kerajaan negeri tetap meneruskan pemasangan papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang walaupun terdapat pihak yang cuba mengsabotaj tindakan itu, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata terdapat pihak yang cuba merosakkan papan tanda yang dipasang di sekitar Lebuh Acheh, pagi ini.

"Dua papan tanda di Lebuh Acheh dirosakkan dengan cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya langkah kerajaan meletak papan tanda nama jalan dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Arab dan Jawi selain bahasa Melayu adalah sebahagian usaha menarik pelancong asing ke negeri ini.

Pemasangan papan tanda pelbagai bahasa sejak Jumaat lepas menimbulkan kontroversi apabila terdapat pelbagai pihak yang menentangnya.

Mengenai isu kedudukan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia yang didakwa akan terjejas berikutan pembinaan beberapa bangunan di kawasan itu, Lim berkata berdasarkan penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pencalonan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco Teng Chang Yeow, kedudukan Pulau Pinang tidak terjejas.

"Jika UNESCO sedar dan telah dimaklumkan mengenai pembangunan di kawasan itu bermakna kita tidak melanggar syarat itu," katanya.

Semalam, Teng berkata pembinaan tiga projek bangunan tinggi di sekitar tapak warisan dunia di Pulau Pinang iaitu Hotel Rice Miller Boutique, Hotel Boustead Royale Bintang dan kerja pembesaran Hotel E&O, tidak akan menjejaskan kedudukan Georgetown dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar Pulau Pinang itu berkata kelulusan pembinaan ketigatiga bangunan berkenaan dimaklumkan kepada Unesco semasa permohonan menyenaraikan bandar raya itu dibuat oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pada tahun lepas. BERNAMA

Georgetown Akan Kekal Sebagai Tapak Warisan Dunia (WHS)

Nik Aziz ulas Michael Jackson - Malaysiakini

Michael Jackson buktikan agama Islam benar - Nik Aziz

KOTA BHARU - Keputusan penghibur terkenal dunia, Michael Jackson, 50 menganut agama Islam baru-baru ini membuktikan agama berkenaan benar dan bukan rekaan manusia.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, agama Islam diterima oleh sesiapa sahaja termasuk superstar dunia setelah mendapat hidayah daripada Allah Taala.

"Islam sendiri tidak pernah memaksa sesiapa pun memeluk agama itu kerana ia merupakan agama yang benar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia Ke-83 di sebuah hotel di sini semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan penyanyi terkenal berkenaan memeluk agama Islam sebagaimana dilaporkan media semalam.

Penyanyi kontroversi Amerika itu menukar namanya kepada Mikaeel Jackson. Nama itu merupakan pilihannya sendiri. Mikaeel merupakan nama malaikat pemberi rezeki.

ImageJacko dibesar dalam lingkungan agama Kristian dikatakan mengambil keputusan menganut Islam semasa beliau menggunakan studio di rumah kawannya ketika merakamkan album baru.

Rakannya David Wharnsby seorang penulis lagu dan produser Philips Bubal menasihatkan beliau supaya memeluk agama Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tindakan Jackson itu membuktikan beliau tidak berpuas hati dengan agama yang dianutinya sebelum ini.

"Walau pun Jackson merupakan seorang penyanyi tersohor dunia, sudah tentu dia banyak membaca untuk mendapat maklumat berhubung kebenaran Islam.

"Memanglah dia tu penyanyi, semua orang kenal dia, tetapi tidak bererti dia tu menyanyi sahaja," katanya.

Beliau juga berharap penyanyi terbabit dapat mempromosikan Islam melalui tindak tanduk yang baik dan lirik-lirik lagu yang dapat memberi keinsafan kepada manusia serta mengakui kebesaran Allah.

Menurutnya, hanya agama Islam yang benar kerana diperakui oleh Allah Taala.

Kata beliau juga mereka yang sudah lama beragama Islam jarang mengambil peluang untuk mempromosikan agama itu kepada umum bagi menarik lebih ramai orang bukan Islam mendekati agama tersebut.

"Walau pun Islam tidak memaksa sesiapa memeluk agama suci itu, namun setiap dari mereka wajib berdakwah serta mempromosikannya kepada penganut agama lain.

"Kelantan sendiri tanpa disedari telah mempromosikan agama Islam dalam pentadbirannya seperti mengharamkan riba, menutup aurat, cuti dua hari dan pemberian manfaat kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Beliau juga berkata, masyarakat bukan Islam termasuk Hindu pernah menjemputnya menyampaikan ucapan pada majlis anjuran mereka. -Hrkh

Minyak Berharga Bawah 50USD - Malaysiakini



Harga minyak mentah dunia telah jatuh ke paras terendah sejak tiga tahun lalu kepada AS$48.54 (RM174.74) setong berikutan kebimbangan berterusan terhadap kemelesetan ekonomi dunia yang memberikan kesan kepada permintaan tenaga.


Di New York, kontrak hadapan minyak bermutu tinggi Light Sweet bulan Disember susut AS$4.00 (RM14.40) setong sebelum ditutup pada paras AS$49.62 (RM178.63) di New York Mercantile Exchange, semalam.

Minyak mentah Brent North Sea juga berada di bawah paras psikologi AS$50 setong apabila jatuh AS$0.48 (RM1.72) kepada AS$47.60 (RM171.36) setong, dan ditutup rendah AS$3.64 (RM13.10) kepada AS$48.08 (RM173) setong semalam.

Kejatuhan harga minyak di bawah paras AS$50 (RM180) menguatkan dakwaan tentang kaitan pasaran minyak dengan permintaan.

''Pasaran sedar dengan keadaan kemelesetan ekonomi akan memberi kesan ketara kepada permintaan minyak di negara-negara pasaran baru yang meningkatkan pasaran minyak mentah,'' kata Jason Feer, penganalisis pasaran tenaga Argus Media Ltd. di Singapura.

Penganalisis itu berkata, sentimen diburukkan lagi dengan laporan pengangguran di Amerika Syarikat (AS) negara pengguna minyak terbesar dunia.

Kadar pengangguran AS meningkat ke paras tertinggi sejak 16 tahun menguatkan lagi andaian bahawa negara ekonomi terbesar dunia itu berdepan dengan kemelesetan ekonomi.

Kesatuan Eropah (EU) juga sedang dihantui oleh kemelesetan ekonomi.

''Krisis ekonomi yang melanda menyebabkan harga tenaga berada di bawah tekanan sepanjang malam, dan kerugian dipercepatkan lagi,'' kata John Kilduff penganalisis MF Global.

Kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global dan kesannya kepada permintaan tenaga telah menyebabkan harga minyak menjunam daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM529) setong pada Julai lalu.

''Apa yang mengejutkan adalah.... kepantasan kejatuhan harga yang berlaku,'' kata Feer.

''Minyak mentah semakin sukar untuk dijual.

''Pasaran saham dunia yang menjunam terutamanya di Asia, tiada berita positif yang dapat mengembalikan keyakinan kepada pasaran minyak,'' kata Simon Wardell, penganalisis minyak dengan IHS Global Insight.

Para penganalisis berkata, mereka menjangkakan harga pasaran akan terus lemah. - sumber: utusan

Malam ini! Ceramah pelancaran kempen Himpunan Mansuhkan ISA - Malaysiakini


Ceramah pelancaran kempen Himpunan Mansuhkan ISA tetap diteruskan

Kuala Lumpur - Pemuda PAS bertegas tetap akan mengadakan program ceramah pelancaran Himpunan Mansuhkan ISA di Padang Dataran MPAJ pada hari ini (23 November 2008). Anjuran bersama dengan GMI itu akan dihadiri oleh YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bersama-sama dengan Ketua Umum PKR YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim Kit Siang.

“Majlis Perbandaran Ampang jaya telah meluluskan penggunaan padang dataran tersebut, dan kami telah memaklumkan kepada pihak polis berkenaan program tersebut. Oleh itu kita telah memenuhi prosedur dan peraturan”, kata Ketua Pemuda PAS Wilayah Kamaruzaman Mohamad.

Beliau menjelaskan lagi pihak polis sepatutnya akan mengawal keselamatan bagi memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar dan itu adalah harapan kami sebagai rakyat. Jika ada halangan, itu hanya mungkin provokasi daripada pihak UMNO yang hanya mahu akta zalim ini dikekalkan.

Unit Amal Malaysia juga telah diberikan tugas bagi mengawal lalu lintas dan keselamatan orang ramai.

Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat terutamanya yang berada di Lembah Klang untuk sama-sama hadir bagi menjayakan Kempen Himpunan Mansuhkan ISA ini. berikut ialah makluman program :

Tarikh :23 November 2008 (Ahad)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Padang Dataran MPAJ Pandah Indah

Penceramah :
YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
YB Dato Seri Anwar Ibrahim
YB Lim Kit Siang
Tuan Hj Mohamad Sabu
YB Salahuddin Ayub

Pelan Peralihan Kuasa Ciptaan UMNO - Malaysiakini



Bermacam-macam isu disensasikan sepanjang bulan ini. Diantara yang paling hangat ialah isu perebutan jawatan dalam UMNO. Sebelum isu pelan peralihan kuasa jawatan Ketua Wanita menjadi hangat, isu pelan peralihan kuasa Presiden UMNO tidak kurang hangatnya sehingga menutup isu-isu lain yang tidak kurang pentingnya iaitu kenaikan harga barang.

Pelan asal peralihan kuasa Presiden UMNO ialah tahun 2010. Tetapi diatas desakan beberapa pemimpin yang bersandarkan ke atas akar umbi konon, maka dianjakkan Perhimpunan ke Mac 2009 kerana hendak meng-awalkan pelan penyerahan kuasa.

Saya merasakan pelan peralihan kuasa ini adalah ciptaan sendiri. Tidak termaktub pun di dalam perlembagaan UMNO.

Rakyat mengikuti perkembangan ini kerana buat masa ini, UMNO menjadi tunjang kepada BN. Sebarang pertukaran kepimpinan mencorakkan senario politik negara. Walaupun dasarnya tetap sama yang hanya berkisar, berligar dan berselindung di sebalik 'tabir kebal' UMNO iaitu "BN mesti mengekalkan 2/3 majoriti di Parlimen yang dah pun ditembusi, "mengekalkan ketuanan melayu bila langkah silatnya dah sumbang" dan "perpaduan melayu bila 'gelanggang silatnya' dah 'tinggi rendah' dimana 5 negeri dah 'tumbang', namun gaya lenggang lengguk pimpinan yang baru mungkin ada kelainan.

Perbezaan pelan peralihan kuasa Presiden dan Ketua Wanita UMNO ciptaan sendiri ini, tidaklah ghairah sangat. Presiden sekarang akur dengan kehendak beberapa pihak yang berkepentingan. DS Najib berjaya di'nobatkan' sebagai Presiden setelah lawan beliau Tg.Razaliegh tidak cukup kuota pencalonan.

TS Rafidah mengistiharkan pelan peralihan kuasa ciptaannya sebagai 'null and void' setelah Shahrizat bertegas mahu 'melawan'nya kerana dia (Shahrizat) tidak percaya lagi pelan tersebut kerana didakwanya beliau dipaksa menerima pelan tersebut daripada Rafidah.

Begitulah pergolakkan dalam UMNO. Sekarang 'precedent' dah ada, dimasa akan datang akan kita saksikan beberapa pelan peralihan kuasa akan wujud.

Rakyat tertunggu-tunggu perubahan-perubahan yang akan berlaku. Perdana Menteri yang baru pada Mac 2009 akan datang ni diharapkan jangan lupa bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, bukan untuk melayu UMNO sahaja.

Ingat, menjadi imam yakni pemimpin adalah satu amanah yang berat. Anda akan dipersoal di akhirat nanti. - al-brangi

Pautan berkaitan, mStar :
Tiada peralihan kuasa Jun 2009
Shahrizat: 'Saya dipaksa terima pelan peralihan Wanita'
Rafidah: Wanita Umno transition plan is off - thestaronline.tv

Fatwa: Pengendali senaman yoga kecewa - Malaysiakini



Yoga Sistematik Haram

Majlis Fatwa Kebangsaanmengharamkan umat Islam daripada melakukan senaman yoga secara sistematik kerana boleh memesongkan akidah.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga yang sistematik mengandungi tiga perkara iaitu amalan fizikal, unsur keagamaan, mentera dan pemujaan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam menjauhi dan menghentikan amalan itu kerana tujuan dan matlamat untuk mendapatkan ketenangan serta kemuncaknya konon memperoleh penyatuan diri dengan tuhan boleh merosakkan akidah muslim.

Pautan berkaitan :
Warta fatwa larang sertai yoga dalam 2 bulan

Komen Nik Aziz 'Isu Babi Kedah' - Malaysiakini

KOTA BAHARU- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak mahu campur tangan berhubung cadangan negeri Kedah untuk mewujudkan ladang babi moden di Bukit Selambau, di negeri itu.
.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata cadangan berkenaan merupakan urusan kerajaan negeri Kedah dan berharap ia dapat diuruskan dengan sewajarnya.
.
Perbezaan pemberitaan antara TV3 dan Bernama :-
.
TV3 : Kes Babi Kedah : Komen Tuan Guru Nik Aziz

.

Bernama : Nik Aziz Enggan Campur Tangan Isu Ladang Babi Di Kedah

Terengganu: Industri Bakal Menghadapi Zaman Gelap - Malaysiakini

Kesan Krisis Kewangan Dunia - Industri di Terengganu Bakal Menghadapi Zaman Gelap

Kemaman - Industri di Terengganu bakal mengalami zaman gelap akibat kesan krisis kewangan dunia yang mula dirasai oleh pemain-pemain industri yang berpengkalan di Kerteh dan Telok Kalong dekat sini.

Beberapa kilang gergasi pengeluaran seperti Tioxide dan Polyethylene dimaklumkan kini mengurangkan operasi pengeluaran masing-masing.

Antaranya hanya meneruskan pengeluaran melalui satu saloran pengeluaran sahaja berbanding sebelum ini yang menggunakan empat saluran pengeluaran

Seorang pekerja kilang Tioxide yang mahu dikenali sebagai Salim Mahmud memberitahu pengeluaran bahan dioksida dari kilang tersebut terpaksa di kecilkan skalanya kerana permintaan terhadap barang tersebut semakin mengecil.

Menurutnya pesanan baru dari pasaran tempatan dan luar Negara tidak diterima menyebabkan hasil produk itu terpaksa disimpan didalam gudang.

Katanya pihak pengurusan kilang tersebut mengibaratkan perjalanan industri itu umpama memandu kereta dengan cermin hadapan yang gelap.

“Pihak pengurusan tertinggi memberitahu sekarang macam memandu kereta dengan cermin hadapan yang gelap,

“pemanduan kini hanya dengan melihat cermin sisi dan cermin belakang,”ujarnya membayangkan industri tersebut sedang menghadapi keadaan masa depan yang tidak menentu.

Justeru, beliau dimaklumkan kini pihak pemgurusan kilang sedang berikhtiar bagaimana untuk memastikan pengeluara terus berjalan bagi menyelamat pekerja dan kakitangan tersebut dari diberhentikan.

Selain dari itu beliau berkata beliau diberitahu oleh beberapa pekerja kilang Polyethylene juga menghadapi masalah yang sama.

Pengeluaran kilang tersebut juga dimaklumkan telah mengambil langkah mengurangkan pengeluarannya.

Oleh itu menurut Salim, sekiranya kerajaan Terengganu tidak membuat keputusan segera menghadpi krisis

Ekonomi, ia akan menyebabkan pengangguran meningkat akibat dari pemberhentian pekerja-pekerja kilang tersebut. - Buletinonline

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese