10 December 2008

PAS rugi mengenepikan Mohamad Sabu - Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Ketua dan Timbalan Muslimat PAS Pusat menyokong cadangan peribadi Mursyidul Am PAS yang mahu Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dikekalkan menjadi calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ketuanya, ustazah Nuridah Mohd Salleh berharap pihak PAS harus mengekalkan calon lama (Mohamad Sabu) kerana pilihan raya umum baru saja berlangsung dan tidak salah jika pihak PAS meneruskan calon tersebut.

Menurut beliau, jika pihak PAS mahu mengatakan kekalahan yang berlaku di Parlimen Kuala Terengganu itu disebabkan calon orang luar, amat tidak adil kerana Parlimen di Terengganu hanya menang satu kerusi saja iaitu di Marang.

"Banyak kerusi DUN dan Parlimen yang meletakkan calon tempatan pun kalah," luahnya ketika di temui di lokasi runtuhan tanah Bukit Antarabangsa.

Sebenarnya kelebihan Mohamad Sabu terbukti bukan sahaja petah berbahas tetapi dapat mematahkan hujah pihak lawan (BN) ketika menjadi Ahli Parlimen dahulu, tegas Nuridah.

Beliau meluahkan, sayang jika pihak PAS tidak mengambil kesempatan ini untuk menaikan imej PAS dengan ketrampilan yang ada pada Mohamad Sabu.

Pandangan Nuridah itu disokong oleh Wan Hasrina Wan Hassan yang menegaskan Mohamad Sabu sudah lama berjuang dalam PAS dan mengakui bekas tahanan ISA itu mempunyai kehebatan tersendiri.

Katanya, jarang ditemui pimpinan PAS mempunyai keistemewaan seperti Mohamad Sabu kerana ketika menjadi Ahli Parlimen kebolehan atau keistemewaan beliau turut diakui oleh wakil rakyat BN.

Beliau yakin Mohamad tidak akan merajuk jika tidak terpilih menjadi calon dalam pilihan raya kecil nanti sebab beliau merupakan seorang pemimpin PAS yang berjiwa besar, bersemangat jihad yang tinggi dan betul-betul ikhlas dalam perjuangan.

Sebagai contoh katanya ustaz Hassan Syukri walaupun pernah menjadi Timbalan Presiden PAS dan sekarang tidak mempunyai apa-apa jawatan sekadar ahli Majlis Syura Ulama tetapi beliau tetap terus memberi sumbangan dalam parti.

"Kita pasti rugi jika mengenepikan orang veteran daripada sudut perjuangan kerana tenaga pimpinan seperti ini masih amat berguna," tegasnya.

Menurut beliau Mohamad Sabu mempunyai pengalaman yang banyak dalam perjuangan sejak PAS tidak menang kemudian menang dan ketika menang beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan tetapi perjuangannya tetap utuh dalam PAS.

Sikap ramah dan kemampuan yang ada pada beliau serta kehebatannya menarik pengaruh orang terutama ketika berceramah tidak dimiliki oleh mana- mana pimpinan PAS, katanya.

"Beliau boleh mengupas isu dalam bentuk yang mudah bahasa yang diucapkan mudah difahami oleh orang kampung begitu juga golongan intelektual dan beliau boleh menyesuaikan diri dengan mana-mana golongan," luah Hasrina.

Tambah beliau, Mohamad Sabu merupakan pimpinan yang boleh dibawa ke tengah, ke atas, ke tepi, ke bawah dan PAS akan kerugian besar jika mengenepikan pimpinan seperti beliau. - Hrkh

Gambar hiasan: Haji Mohamad Sabu menyempurnakan Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali ke-48 yang lalu.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese