28 December 2008

Hadi Awang: Sukar laksana Hudud - Malaysiakini

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

Malah, beliau juga mengakui bahawa bukan mudah untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kata Ustaz Abdul Hadi, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hudud daripada dilaksanakan.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya.

Katanya, kebimbangan yang dilahirkan oleh segelintir rakyat negara ini sama seperti mentaliti kampung ketika era 1950-an.

Mentaliti kampung tahun 1950-an menyaksikan orang ramai khuatir untuk ke hospital kerana mereka bimbang sebaik sahaja melangkah ke hospital, mereka akan dibedah.

Terdahulu beliau merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam di sini hari ini lapor akhbar mStar

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Beliau berkata, golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya.

2 comments:

Anonymous said...

Orang bukan islam juga ada hak untuk mengetahui berkenaan hukum hudud. Malaysia sebuah negara majmuk dan banyak perkara akan melibatkan orang Islam dan bukan Islam.
Adalah tidak wajar PAS meneruskan rancangan Hudud tanpa memberitahu akan implimentasinya

Anonymous said...

Implikasi untuk orang bukan Islam hanyalah mereka akan dibela secara adil mengikut sistem pengadilan yang sedia ada. Implikasi kepada orang Islam adalah mereka akan diadili oleh sistem pengadilan Islam yang diigini oleh majoriti orang Islam itu tersendiri.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese