01 November 2008

Terengganu: Rosol dipanggil BPR, Ahmad akan Pecat Exco - Malaysiakini

http://buletinonline.net/images/berita13/rosolpolitikwang.gifKuala Terengganu - Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Rosol Wahid mengesahkan beliau diminta BPR memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan politik wang

Beliau berkata ada pegawai BPR memintanya datang ke pejabat agensi itu di Wisma Persekutuan, di sini, pagi semalam.

"Saya akan memberi kerjasama dan mengemukakan semua bukti yang diperlukan termasuk pengakuan dibuat perwakilan, bukan saja di bahagian Hulu Terengganu, malah di bahagian Kuala Terengganu, Dungun, Marang dan Setiu," katanya sebagaimana dilaporkan oleh sebuah akhbar media perdana.

Rosol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkata beliau akan mendedahkan semua perkara membabitkan kes politik wang yang berlaku secara berleluasa ketika persidangan Umno Bahagian Hulu Terengganu, Sabtu lalu.

"Jika berkaitan politik wang, saya tidak akan menyembunyikannya walaupun hanya membabitkan wang sogokan yang jumlahnya kecil," katanya.

Pada 27 Oktober lalu Rosol mendakwa mesyuarat perwakilan Bahagian Hulu Terengganu yang diadakan pada 26 Oktober lalu tidak telus dan berlakunya gejala politik wang.

Rosol dipetik sebagai berkata, beberapa perwakilan memaklumkan kepadanya ada segelintir perwakilan dibayar antara RM300 hingga RM1,000 untuk memberikan undi kepada calon tertentu bagi memastikan kemenangan individu terbabit.

Dalam perkembangan yang sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkata beberapa exco negeri akan digugurkan kerana melanggar arahan supaya exco tidak bertanding jawatan utama dalam pemilihan bahagian.

Buletinonline mendapat kiriman SMS yang mengesahkan antara merka yang akan dipecat ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad.

Ahmad juga dilaporkan berkata, Yahya akan diminta meletak jawatan exco berikutan 'kedegilannya' mengingkari nasihat beliau supaya tidak menentang ketua bahagian sedia ada.

Selain Yahya, Ahmad Said yang juga pengerusi badan perhubungan UMNO negeri mengesahkan bahawa dua lagi exco akan digugurkan pada rombakan ‘kabinet negeri’ pada pertengahan bulan depan.

Kenyataan terbaru Ahmad telah menimbulkan keberangan kumpulan kem yang menentangnya terutama dari bahagian Marang.

UMNO Bahagian Marang dilihat sebagai ‘kubu paling kuat’ kumpulan menentang Ahmad apabila Yahya berjaya menewaskan bekas ‘Giant Killer’ Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Amalan politik wang yang amat berleluasa juga dilaporkan berlaku dalam pemilihan UMNO Bahagian Marang 25 Oktober lalu.

Setiap perwakilan diberitakan mendapat sekurang-kurangnya RM 3000 seorang diberikan oleh kumpulan yang ‘menang’ dalam pemilihan tersebut.

Sumber Buletinonline melaporkan, sebanyak RM2000 telah diagih-agihkan kepada perwakilan sebelum hari pemilihan, manaka RM1000 lagi diberikan selepas pemilihan ‘sebagai tanda terima kasih’. - buletinonline

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese