KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bercadang mengadakan peralihan kuasa antara penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada kongres nasional tahunannya Sabtu ini.
Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim berkata perkara itu tidak timbul meskipun Dr Wan Azizah telah melepaskan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding.
"Cadangan itu tidak ada sama sekali dalam kongres nasional kita nanti. Kenapa nak tukar pula? Dia (Dr Wan Azizah) adalah orang yang sesuai untuk mengendalikan parti," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini ketika diminta mengulas desas desus kononnya ada cadangan untuk peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin itu pada kongres parti kali ini.
Pemilihan parti akan hanya berlangsung pada tahun 2010.
Sementara itu, Salehuddin berkata secara peribadi beliau bersetuju dengan usul Wanita parti itu yang mahukan manamana Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dengan skandal seks dan rasuah meletak jawatan.
"Pada dasarnya ia baik tetapi perlulah dibuktikan dahulu yang mereka ini bersalah. Tak boleh letak jawatan begitu sahaja," katanya.
Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak PKR Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi kini menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh berhubung projek pembangunan di Seri Iskandar yang bernilai RM180 juta.
Selain itu, Anwar juga sedang menghadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini kerana didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lepas.
Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor pada 29 dan 30 November ini, akan disertai 1,900 perwakilan daripada 180 bahagian di seluruh negara.
Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR akan mengadakan kongres nasional tahunan masing-masing pada 28 November juga di Shah Alam. BERNAMA
KUALA LUMPUR - Kongres Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang bakal berlangsung pada 28 hingga 30 November ini adalah kongres terbesar dan bersejarah untuk meraikan kemenangan rakyat.
Demikian kata Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim hari ini semasa mengadakan sidang media khas taklimat khusus kepada media bagi Kongres KeADILan yang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.
Menurut Salehuddin, kongres yang akan diadakan di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam itu bakal menjanjikan himpunan terbesar parti.
Kongres akan dirasmikan oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sementara kongres tahunan sayap parti, (Angkatan Muda dan Wanita KeADILan) pula akan berlangsung sehari lebih awal dari kongres di peringkat pusat.
"Ia adalah kongres pertama selepas kemenangan besar KeADILan dan Pakatan Rakyat selepas 8 Mac lalu yang mana ia merayakan kemenangan rakyat yang mahukan perubahan," ujarnya.
Beliau memaklumkan 1900 perwakilan dan 1200 pemerhati bertauliah mengesahkan kehadiran mereka bagi kongres selama tiga hari itu.
Sementara dijangka lebih 20,000 penyokong pula akan membanjiri Ceramah Perdana yang akan disampaikan Ketua Umum Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada jam 9.00 malam, Sabtu 29 November di Stadium Malawati.
Mengulas mengenai usul-usul yang diterima dan bakjal dibahaskan, Salehuddin mengumumkan antara tiga hingga lima usul akan dibahaskan.
Sementara pihak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah menerima lebih 70 usul yang dibawa oleh Bahagian-bahagian KeADILan seluruh negara, katanya.
"Tidak kesemua usul ini akan dibahaskan, kerana ia telahpun ditapis oleh MPT, namun ada usul yang akan diselitkan dalam ucapan dasar Presiden Parti, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.
Beliau turut menyatakan isu pembentukan kerajaan 16 September bakal menjadi antara isu yang akan dibahaskan perwakilan semasa kongres itu nanti.
Di pihak pimpinan, mereka telah bersedia dengan jawapan terhadap isu-isu yang bakal dibangkitkan, katanya.
Pihak MPT juga menjangkakan isu-isu ekonomi, isu rakyat tertindas dan isu politik semasa bakal menghiasi perjalanan perbahasan kongres kali ini.
Beliau melahirkan harapan agar kongres kali ini akan berjalan dengan keadaan yang paling baik. - Hrkh
No comments:
Post a Comment