Laksana Islam: PAS perlu keluar dari kotak lama
KUALA SELANGOR - PAS perlu keluar dari kotak pemikiran lama dalam pelaksanaan Islam di negara ini sehingga menganggap tanpa pelasanaan syariah maka Islam tidak terlaksana.
KUALA SELANGOR - PAS perlu keluar dari kotak pemikiran lama dalam pelaksanaan Islam di negara ini sehingga menganggap tanpa pelasanaan syariah maka Islam tidak terlaksana.
Ini kerana Islam itu sendiri bukan terletak atas paksi syariah semata-mata tetapi atas tiga paksi iaitu aqidah, akhlak dan syariah.
Demikian pandangan Dr Dzulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.
Dr Dzul berkata demikian dalam pertemuan dengan Siasah selepas lapan bulan menjadi wakil rakyat buat pertama kalinya.
Selama ini ramai beranggapan PAS tidak melaksanakan Islam di negeri-negeri yang ditadbirnya kerana tidak melaksanakan hukum hudud dan qisas.
"Bagi saya ini satu kesilapan dan kita perlu ubah pemikiran sebegini dan kita kena keluar dari kotak pemikiran ini.
"Jika kita lihat syariah sekalipun ia bukan sekadar hudud dan qisas sahaja tetapi syariah merangkumi keluarga, muamalat dan juga pemerintah.
"Dalam pemerintahan baru ada hudud dan qisas ini. Jadi kita semestinya fokus keada persoalan hudud dan qisas sahaja baru kita dikira melaksanakan Islam," terang beliau.
Penekanan Dr Dzul ini adalah satu pendekatan baru dalam PAS. Selama ini, ramai penggiat dan penyokong PAS memberikan fokus kepada pelaksaan Islam adalah melalui pelaksanaan hukum-hukum Islam ini.
Bagi beliau, buat masa ini PAS perlu memberikan fokus kepada tiga pendekatan utama untuk membolehkan Islam yang dibawa oleh PAS ini dapat diterima dengan baik oleh masyarakat.
Pertamanya "Al-Istikhlaf" ataupun good governnance. Ia akan terlaksana melalui kerajaan yang bertanggungjawab, bebas dari rasuah, salah guna kuasa dan kroni serta menjalankan polisi berdasarkan merit tanpa berdasarkan kaum dan seumpamanya.
Keduanya adalah "istikhmar" atau memakmurkan rakyat dan negara. Melalui polisi ini, ekonomi rakyat dan negara perlu diperkukuhkan.
"Kita tidak boleh sentiasa hidup dalam bajet defisit misalnya," kata Dr Dzul yang juga AJK Pas Pusat itu.
Yang ketiga adalah "al-adaalah" atau keadilan. Keadilan ini katanya, hendaklah diberikan kepada semua tanpa mengira siapa dia atau di kumpulan mana dia berada.
"Jika semua agenda ini kita laksanakan dan ia pula dipantau dengan baik, bermakna kita telah melaksanakan sebahagian dari Islam walaupun kita belum melaksanakan hudud lagi.
"Ini adalah langkah awal supaya Islam boleh diterima dan dengan cara itulah keadilan Islam itu akan merata dan lengkaplah konsep yang kita bawa "PAS Untuk Semua" itu," kata beliau. -siasah
1 comment:
Cukup bersetuju dgn pandangan ini.Sebelum ini Pas terlalu menekankan perkara yg hanya mencakupi 30% sahaja dari kehidupan Islam sebenarnya,dan perkara ini pula adalah yg paling susah utk dilaksanakan dalam masyarakat majmuk ini akibatnya Islam terus tidak di kenali.
Post a Comment