15 October 2008

RANJAU DAN DURI KE MERCU KUASA - Malaysiakini

Perjalanan Datuk Seri Najib Tun Razak ke mercu kepimpinan UMNO kelihatan mudah dan tanpa halangan. Buktinya, keseluruhan 28 daripada 191 bahagian UMNO yang telah mengadakan sidang perwakilan masing-masing setakat ini sudah pun mencalonkan Najib ke jawatan Presiden UMNO.

Tetapi, perjalanan Najib ke mercu kekuasaan negara nampaknya masih penuh duri dan ranjau. Contohnya, mulai penghujung 2006, Najib digerhanai persepsi umum yang negatif. Hingga ke hari ini, persepsi umum ini masih belum luntur.

Selepas itu, bertubi-tubi pula serangan dilemparkan oleh pihak pembangkang kepada Najib. Ini semua menjelma dalam dua bentuk utama - tohmah mengenai korupsi dan tomah mengenai penyalahgunaan kuasa membabitkan beberapa pembelian kelengkapan pertahanan negara.

Hari ini, 14 Oktober 2008, satu tohmah baru yang kononnya boleh membabtikan Najib atau sesetengah ahli keluarganya pula disuarakan di oleh seorang wakil DAP Dewan Rakyat. Ia membabitkan cadangan pembelian pesawat helikopter oleh Kementerian Pertahanan.

Orang Dalam

Dari cara dan gaya tohmah ini dihuraikan sewaktu membahaskan bajet 2009 di Dewan Rakyat, banyak pihak mengesyakki bahawa ada “orang dalam” yang membekalkan maklumat mengenainya kepada pihak pembangkang. Siapakah mereka? Apa niatnya?

Seterusnya, mungkinkah tohmah di atas akan terus diheret dan dileretkan hingga jadi panjang berjela-jela seolah-olah supaya menjadi tali untuk menjerut masa depan politik Najib? Adakah ini merupakan satu antara pelbagai usaha untuk menggagalkan perjalanan Najib ke mercu kekuasaan negara?

Pihak kerajaan memang akan mematahkan tohmah terbaru ini di Dewan Rakyat. Tetapi, sama ada ia benar atau sebaliknya adalah tidak penting. Yang pasti, tohmah ini akan menyebabkan gerhana yang menyelubungi masa depan Naji kian menebal dan berpanjangan.

Tidak cukup dengan pelbagai tohmah, dakwaan dan tuduhan, Najib juga diselubungi persepsi umum mengenai isteri beliau sendiri.

Ada pihak mentafsirkan perkara ini sebagai remeh. Tetapi, ada juga pihak mengatakan faktor ini adalah kritikal terhadap kelicinan perjalan Najib ke puncak kuasa.

Usaha Terancang

Bagaimanapun, setelah rakyat jelata menginsafi seluruh kepincangan yang telah berlaku sejak 2004 hingga sekarang, adalah mustahil faktor ini tidak boleh diatasi secara total dan berkesan.

Oleh itu, jika isu ini terus dipolemikkan, kemungkinan besar pencetus polemik ini juga dimotivasikan oleh hasrat menghalang Najib jadi Perdana Menteri.

Berasaskan seluruh huraian di atas, wajarlah kita semua bertanya: mungkinkah usaha menghalang Najib ke puncak kuasa ini satu usaha yang tercancang rapi? Kalau begitu, siapakah perancang utamanya? Dan, mengapakah perkembangan seperti ini tidak pernah berlaku kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2004?

Akhir sekali, wajar kita semua bertanya: mungkinkah perjalan mudah Najib menuju ke mercu kepimpinan UMNO pada hari ini akan melunturkan seluruh persepsi negatif terhadapnya untuk menjadi Perdana Menteri? - Ruhanie Ahmad

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese