Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Dengan sukacita dan rasa rendah diri, saya bagi pihak DAP ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri minal ai’dil wal fa’izin 1429 Hijrah kepada semua Muslimin dan Muslimat di mana sahaja berada.
Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang Syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial. Ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama. Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.
Saya percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. Melalui kitab suci Al-Quran ada disebut mengenai Amar Ma’ruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Ia merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam itu sendiri. Saya yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua.
Bagi pihak DAP, saya percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Aspek kepelbagaian ini harus menjadi kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia untuk berganding bahu serta saling percaya antara satu sama lain.
Tuhan tidak membezakan kita di antara warna kulit ataupun fahaman politik malah kepercayaan agama terjamin di kalangan semua agama, termasuk Islam. Oleh itu adalah tidak betul dan tidak patut insan dalam parti politik tertentu cuba memecah belahkan rakyat dan menggugat perpaduan nasional dengan menggunakan isu perkauman, menabur fitnah dan menggalakkan penggunaan kekerasan. Namun kumpulan ekstremis ini cuba menggunakan isu bahasa sungguhpun semua bahasa di dunia baik Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Hindi, Urdu, Thai dicipta oleh Tuhan.
Rakyat Malaysia mestilah menolak politik jahat ini yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran. Sebaliknya kita semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan. Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz.
Kita tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza. Jangan jadikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai alasan untuk bertindak ganas atau menuju ke arah jenayah. Yang penting, tali silaturahim antara kita harus diikat erat. Jangan kita biar pihak tertentu mengadu domba persahabatan kita sesama kaum semata-mata kepentingan politik perkauman sempit mereka.
Semoga hari lebaran ini disambut dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kegembiraan. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar . Maaf zahir batin.
* Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP
2 comments:
Syabas saudara Guan Eng. Gua tabik sama lu.
Cinapek DAP perlu contohi Guan Eng & Jeff Ooi. Harap depa degaq & paham
Post a Comment