11 October 2008

Najib Tak Pernah Kenal Erti Kelaparan - Malaysiakini

Dato Seri Najib Tun Razak, pengganti Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, menjadi pemimpin UMNO semata-mata kerana beliau adalah anak kepada Allahyarham Haji Tun Razak Hussain, Perdana Menteri Malaysia kedua.

Saya sendiri pernah bertugas dibawah Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, seorang manusia yang luar biasa, yang tidak tahu penat atau lelah, sepenuh masanya digunakan untuk bekerja.

Karekter Tun Razak adalah seumpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama, yang kebetulan saya sempat bertugas dibawahnya semasa usaha-usaha sedang dijalankan untuk menamatkan Konfrontasi Indonesia.

Tunku adalah seorang "fatherly figure" dan mengambil tahu tentang kakitangannya, bahkan menjemput kakitangannya walaupun sekecil mana kenduri diadakan dirumahnya, samada rumahnya di Kediaman Rasmi berjiran dengan Jabatan Perdana Menteri di Jalan Dato Onn atau rumahnya di Alor Star.

Tun Razak pula hanyalah mempunyai hubungan kerja. Hari Sabtu dan Ahad pun kena bekerja, jika tidak di Pejabat TPM maka dirumahnya di Sri Taman. Tidak ada apa-apa kemesraan diantaranya dengan kakitangannya.

Bagi kami, Tun Razak adalah "machine" -- kerja, kerja, kerja! Tetapi perangai Tun Razak akan bertukar seratus peratus apabila dia berada dikalangan rakyat. Dia sangat mesra dengan rakyat, dan kekadang pimpinan UMNO di cawangan-cawangan atau Bahagian menjadi keliru kerana watak Tun yang berbeza semasa di kampong-kampong dan semasa beliau berada di Pejabat.

Najib adalah anak sulung Tun Razak dan Tun Puan Rahah. Dari kecil mendapat pelajaran di England hinggalah memperolehi ijazahnya dan kembali ke Tanahair semasa ayahnya kembali ke rahmatullah.

Beliau tidak pernah berjuang didalam UMNO tetapi dipileh untuk bertanding di Parlimen Pekan menggantikan ayahandanya dan merupakan Ahli Parlimen yang termuda.

Najib mematangkan dirinya dengan politik diatas kapasitinya memegang pelbagai jawatan didalam Kerajaan dan didalam parti UMNO. Beliau tidak pernah berjuang untuk mendapatkan jawatan-jawatannya tetapi tersedia untuknya. Ertinya, Najib tidak pernah diuji!

Dari kecil hinggalah Najib dilantik didalam pelbagai kapasiti jawatan termasuk Menteri Besar Pahang dan Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengetahui erti kemiskinan, kesukaran hidup, penderitaan dan keperitan hidup. Tahu tak tahunya tentang kehidupan yang dilalui oleh rakyat hanyalah dari segi pembacaannya saja sedangkan beliau sendiri tidak pernah merasainya.

Sebagai anak kepada Perdana Menteri dia mempunyai apa sahaja yang diperlukan dizaman kanak-kanaknya, kemudian dizaman persekolahan rendah, menengah dan universitinya. Semua pegawai kerajaan mengambil tahu tentang diri Najib semasa beliau mengaji di England.

Hidupnya tidak pernah susah. Dia tidak pernah mempunyai latar belakang perjuangan dari bawah, dari akar umbi. Tahu, tahu saja berpolitik, dia sudah memegang jawatan yang disajikan didalam Kerajaan.

Dan inilah orangnya yang dikatakan akan menggantikan Pak Lah. Dan orang ini dikaitkan dengan pelbagai skandal yang tidak pernah terbukti, skandal-skandal yang dikaitkan termasuk keintimannya dengan seorang penyanyi wanita semasa berada di Port Dickson, tetapi skandal ini tidak pernah dapat dibuktikan. Hanya menjadi buah mulut dan diperkatakan dari mulut ke mulut tetapi tidak pernah dibawa kepada pengadilan syariah.

Begitu juga skandal Altantuya, ada juga dikaitkan dengannya dan isterinya Rosmah. Walaupun skandal itu dijadikan isu oleh RPK, namun tidak pernah berlaku penyiasatan keatasnya, dan dakwaan tanpa penyiasatan tidak akan mencemarkan karekternya.

Beliau juga dikaitkan dengan skandal komisyen yang sangat besar, namun tidak pernah disiasat dan tidak ada bukti yang boleh mensabitkannya.

Apa yang dikaitkan kepada Najib yang tidak pernah dibuktikan itu sudah cukup untuk membuat politikus-politikus Jepun atau Korea Selatan untuk meletakkan jawatan, namun perkara-perkara seumpama itu tidak menjejaskan batang tubuh dan jawatan Menteri-Menteri di Malaysia.

Kalau perkara seumpama ini berlaku di Jepun, USA atau England, pihak berkuasa polis sudah pun mejalankan siasatan secara telus, tidak ada perkara yang nak diselindungkan; namun di Malaysia ini perkara-perkara seumpama itu tidak akan berlaku kecuali Menteri-Menteri itu sudah jatuh "out of favour" dari tampuk kekuasaan.

Najib dikenali sebagai "orang Mahathir", dan pemerintahannya nanti akan menempatkan semula etika pemerintahan Mahathir, dan reform yang diperlukan didalam pentadbiran, BPR, kehakiman dan perundangan akan menjadi agenda yang tertangguh.

Najib yan tidak pernah kenal erti kelaparan akan menjadi seorang Perdana Menteri yang tidak sangat kenal mempetahankan dasar-dasar pro-modal dari dasar-dasar pro-rakyat. -

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese