31 October 2008

Eurocopter: "Abdullah makan nangka, Najib terkena getahnya" - Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa menyatakan ketika ramai menyangka kononnya 'perbincangan' pembelian Eurocopter didalangi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan komisyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepada Timbalan Presiden Umno itu.

"Isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nangka dan orang lain terkena getah," kata Husam secara sinis dalam satu ulasan yang dipaparkan dalam blognya baru-baru ini.

Benar 'Letter of intent' (LOI) dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan ia nampak seperti Najib tergesa-gesa, katanya.

Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan dan sememangnya pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan, katanya.

"Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan 'deal' ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan 'hasilnya'," katanya sinis.

Pada masa yang sama Husam melihat ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan 'menyudahkan' Najib.

Beliau juga merujuk surat yang didedah Kapt (B) Zahar Hashim yang ditujukan kepada Najib.

"Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya 'tuan nangka'.Ia satu 'permainan' tingkat tinggi. Berbilion ringgit wang negara jadi pertaruhan," katanya.

Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah tiba-tiba kononnya mengetahui bahawa Eurocopter adalah mahal dan berkata negara tidak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan, ujar Husam sinis.

"Cepat dan pantas. Sebulan, selesai.Abdullah terkejar masa untuk 'sentuhan' akhir sebelum bersara?," katanya lagi.

Akhirnya Abdullah mengumumkan pembelian Eurocopter dibatalkan dan kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas Abdullah yang sama pertama kali mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya pada 26 September lalu, ujar HUsam.- Hrkh

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese